DUA aktivis wanita dan ahli keluarga mereka ditahan di Afghanistan, kata misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat dan menyifatkan penahanan itu “sangat membimbangkan”.
Misi Bantuan PBB di Afghanistan (Unama) berkata dalam satu kenyataan yang Neda Parwani dan Zholya Parsi ditahan sejak 10 hari lalu, dan menggesa pihak berkuasa Taliban negara itu memberi mereka akses kepada bantuan undang-undang dan perubatan.
“Penangkapan dan penahanan individu yang berterusan semata-mata untuk melaksanakan hak mereka bagi kebebasan bersuara dan pendapat amat merisaukan dan bertentangan dengan kewajipan hak asasi manusia antarabangsa Afghanistan,” kata Unama dalam satu kenyataan.
Tiada maklum balas segera daripada pihak berkuasa Taliban.
Sejak merampas kuasa pada Ogos 2021, kerajaan Taliban Afghanistan mengenakan tafsiran ketat undang-undang Islam ke atas negara itu, sebahagian besarnya mengecualikan wanita daripada kehidupan awam.
Remaja perempuan dan wanita dilarang ke sekolah dan universiti, ribuan kehilangan pekerjaan kerajaan—atau dibayar untuk tinggal di rumah—dan mereka juga dilarang memasuki taman, tapak pesta atau gim.
Dalam kenyataannya, Unama turut menamakan tiga orang lain yang dikatakan sedang ditahan—wartawan Mortaza Behboudi, aktivis pendidikan Matiullah Wesa, dan ulama Rasoul Parsi.
“Unama menyeru pihak berkuasa de facto menghentikan penangkapan dan penahanan sewenang-wenangnya dan memastikan semua yang ditahan diberi akses kepada keluarga, peguam dan rawatan perubatan serta memperoleh hak bagi perbicaraan yang adil,” kata badan itu. – AFP, 30 September, 2023.
Komen