Kisah di sebalik sikap diam diri Najib, Shafee terhadap dakwaan bayaran RM9.5 juta


Looi Sue-Chern

Pengarang Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown semasa himpunan Bersih di London pada 2015. Beliau 'dijemput' polis Malaysia membantu siasatan dakwaan pembayaran RM9.5 juta kepada peguam terlibat dalam kes Anwar Ibrahim. Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Jun, 2017.

HANYA bekas ketua polis negara dan seorang menteri cuba mempertahankan Perdana Menteri Najib Razak selepas Sarawak Report menerbitkan satu artikel yang mendakwa beliau menggunakan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi membayar sebanyak RM9.5 juta kepada peguam Muhammad Shafee Abdullah.

Tiada orang lain tampil membuat penjelasan bagi mempertahankan PM terhadap tuduhan yang bayaran ini menyimpang daripada kebiasaan dan menimbulkan kebimbangan wujudnya konflik kepentingan. Malah individu yang terbabit dengan pertuduhan dan penerima wang berdiam diri.

Pengarang Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown memberitahu The Malaysian Insight ia “mungkin arahan” untuk diambil perhatian mengenai siapa yang mengulas atau tidak mengenai pendedahan 31 Mei itu.

Setakat ini, hanya bekas ketua polis negara Musa Hassan dan Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Nazri Abdul Aziz memberi respons berkenaan artikel.

Musa dilaporkan menepis dakwaan artikel itu dengan mengatakan akaun Najib ditutup pada Ogos 2013, jadi beliau tidak boleh membayar Shafee pada September 2013 dan Februari 2014.

Nazri, ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, wang yang diterima Shafee tidak mempunyai kaitan dengan keputusan Mahkamah Rayuan dengan pembatalan pembebasan ketua pembangkang Anwar Ibrahim dalam kes liwatnya.

Shafee dilantik sebagai pendakwa raya utama menentang rayuan pembebasan ketua umum PKR itu, yang berdepan tuduhan liwat baru pada 2014.

Rewcastle-Brown berkata Musa “nampaknya keliru” mengenai butiran cerita manakala logik Nazri “membimbangkan”.

“Nazri menjadi seorang daripada penceramah paling efektif bagi menyokong Najib mengenai 1MDB (1Malaysia Development Berhad) dan perkara lain, bagaimanapun, logik beliau mengenai perkara ini nampaknya membimbangkan.

“Najib mempunyai kepentingan yang jelas dalam keputusan pendakwaan Anwar dan terlibat secara langsung dalam kes itu sendiri, begitu juga Shafee.

“Oleh itu, tindakan beliau membayar Shafee pada masa yang sama ketika perbicaraan sedang dijalankan dilihat menjadi konflik kepentingan yang jelas,” katanya kepada The Malaysian Insight di dalam e-mel.

Rewcastle-Brown berkata apabila seseorang mengupah peguam, perkara pertama firma undang-undang itu akan lakukan ialah meneliti tanggungjawab sedia ada untuk memastikan tiada konflik kepentingan.

“Mereka akan memastikan pelanggan berasingan dan tidak mempunyai konflik kepentingan,” katanya.

Beliau berkata ini adalah satu perkara yang perlu dinilai pakar undang-undang, dan bagi Nazri mengetepikan sebarang idea mengenai kebimbangan dibangkitkan oleh penemuan pembayaran rahsia itu seolah-olah “sangat angkuh dan pra-matang”.

“Menteri ini nampaknya mencadangkan hakim mungkin dibayar, apa yang boleh dilakukan adalah memberi perhatian kepada spekulasi mengejutkan itu dan berharap ia tidak timbul di Malaysia.

“Sudah tentu, penyiasatan sepatutnya oleh KPN yang nampaknya sedang dijalankan, sepatutnya tanpa banyak kesulitan dapat mengesan bagaimana Shafee membelanjakan wang itu. Ia jelas perlu dilakukan segera,” katanya.

Dalam artikel itu, Sarawak Report berkata  RM5.2 juta yang didakwa  diterima Shafee pada Februari 2014, hanya dua minggu sebelum Mahkamah Rayuan membatalkan pembebasan Anwar 2012.

Laman sesawang pemberi maklumat itu berkata, wang itu datang daripada akaun bank “yang dikenal pasti dibiayai wang yang dicuri perdana menteri daripada 1MDB anak syarikat SRC, yang meminjam RM4 bilion daripada dana pencen perkhidmatan awam (KWAP)”.

Beberapa laporan polis dibuat oleh pihak Pakatan Harapan untuk menggesa siasatan polis terhadap dakwaan itu.

Ketua Polis Negara Khalid (KPN) Abu Bakar semalam menjemput Rewcastle-Brown ke Malaysia bagi membantu siasatan dakwaan pembayaran itu.

Berikut adalah petikan temubual e-mel: 

S: Apa pendapat anda mengenai “jemputan” KPN untuk datang ke Malaysia bagi membantu siasatan?

J: Saya boleh mengesahkan yang saya sedar kenyataan ini dibuat melalui sidang akhbar, tetapi bukan permintaan rasmi daripada KPN atau pegawainya.

Saya menganggap kenyataan umum oleh KPN ini yang pihak berkuasa nampaknya sudah memutuskan untuk membuka semula siasatan ke atas perkara berkaitan 1MDB, yang buktinya sudah didedahkan dalam domain awam, akan menjadi sangat diperlukan.

Ia penting untuk mengetahui siapa membenarkan pembukaan semula siasatan, khususnya sama ada peguam negara secara rasmi membenarkan inkuiri, memandangkan beliau baru-baru ini mengakui siasatan tidak “ditutup” pada Januari tahun lalu.

Sebagaimana yang dipersoalkan, saya pada dasarnya bersedia membantu setakat yang saya boleh dalam sebarang siasatan.

Tetapi saya yakin semua bukti yang saya ada sudah diserahkan kepada Pasukan Petugas, di mana KPN adalah seorang daripada empat pemimpin bersama dan beliau sudah mempunyai akses terus kepada seluruh maklumat daripada sumber asalnya, dan dengan itu saya tidak mempunyai peranan tambahan untuk menilai fakta.

Saya hanya memberi beberapa maklumat awam, yang sebelum ini tidak didedahkan kepada umum.

S: Ada waran tangkap dikeluarkan terhadap anda dua tahun lalu. Apa perkembangannya? Ada pihak berkuasa Malaysia cuba memburu anda di UK setakat ini?

J: Ini adalah soalan yang saya sendiri berminat untuk mendapatkan jawapannya.

Menurut pemahaman saya, selepas Interpol menolak percubaan KPN bagi meletakkan saya dalam Senarai Merah mereka, beliau cuba membuat pemohonan semula. Saya tidak tahu di mana proses yang berdiri.

Bagi caj lain yang dikenakan kepada saya di Malaysia, ia berkaitan dengan jenayah yang tidak wujud di UK, jadi saya tidak percaya pihak berkuasa boleh memaksa mereka terhadap saya di mahkamah British dan tiada tanda mereka mencuba.

S: Selain itu, adakah terdapat sebarang maklumat terkini mengenai saman PAS? (Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyaman beliau berhubung artikel Sarawak Report tahun lepas yang mendakwa RM90 juta disalurkan ke dalam akaun pemimpin PAS bagi memastikan ia menyokong Umno dan Barisan Nasional.)

J: Saya mempertahankan diri saya dalam kes ini, yang melalui proses biasa. – 9 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen