MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar berkata beliau akan bertemu Ahli Parlimen DAP Howard Lee Chuan How yang sedang disiasat polis kerana didakwa salah mentafsir al-Quran.
Mohd Na’im berkata beliau ingin menjelaskan tindakan Lee.
“Saya difahamkan….saya ditunjukkan video itu dan saya tidak nampak dia sebenarnya mentafsirkannya.
“Apa yang beliau lakukan sebenarnya memetik maksud ayat al-Quran dalam konteks itu,” beliau dilaporkan sebagai berkata oleh New Straits Times.
Menteri itu bercakap kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.
Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata polis telah merekodkan kenyataan Lee bagi membantu siasatan berhubung dakwaan dia menghina agama Islam menerusi tafsiran sendiri terhadap ayat al-Quran.
Lee telah direkodkan kenyataannya pada pukul 3 petang di Ipoh, Perak pada Selasa.
Beliau telah mendapat kecaman daripada pembangkang berhubung perkara ini.
Beliau juga telah memohon maaf secara terbuka atas kejadian itu. – 28 September, 2023.
Komen