Nabi Muhammad dan Islam moderat


Faisal Tehrani

Pada minggu kita meraikan kehebatan Nabi Muhammad, eloklah sirah hidup baginda yang penuh liku dalam perjuangan, disambut dengan keinginan kepada Islam yang menjinakkan hati bukan Islam, bukan meliarkan mereka. – Gambar Facebook, 26 September, 2023.

JALAN Rasulullah adalah jalan moderat. Jalan moderat adalah jalan hak asasi manusia. Saya percaya baginda Nabi Muhammad tidak sama sekali menyetujui jalan ekstrem.

Tidak ada mana-mana gerakan Islam yang boleh menyandarkan nama baginda dengan ekstremisme memandangkan Islam itu sendiri berwajah sederhana.

Kesederhanaan Islam misalnya paling terpancar dalam usaha menegakkan keadilan yang juga ditekankan dalam hak asasi manusia moden.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh At-Tirmidzi bernombor 4039 Rasulullah SAW menjelaskan wasathan atau jalan tengah itu sebagai adil: “Ahmad bin Manie menceritakan kepada kami, Abu Muawiyah memberitahukan kepada kami, Al A’masy memberitahukan kepada kami dari Abu Shaleh dari Abu Sa’id dari Nabi SAW di dalam firman Allah: (Dan demikian (pula) Kami menjadikan kamu (umat Islam) umat yang adil dan pilihan), Nabi bersabda: ‘Adlan’ (erti lafadz Wasathan) iaitu adil”. Hadis ini sahih.

Hadis ini merupakan penjelasan kepada kata “wasathan” yang muncul dalam ayat 143 surah al Baqarah:

“Dan demikianlah (sebagaimana Kami memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.

“(Sebenarnya kiblat kamu ialah Kaabah) dan tiadalah Kami jadikan kiblat yang engkau mengadapnya dahulu itu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar mengikut Rasul serta membenarkannya dan siapa pula yang berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya) dan sesungguhnya (soal peralihan arah kiblat) itu adalah amat berat (untuk diterima) kecuali kepada orang yang diberikan Allah petunjuk hidayah dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu.

“Sesungguhnya Allah Amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya kepada orang-orang (yang beriman).”

Pada minggu kita meraikan kelahiran Rasulullah, saya percaya kita perlu terus-terusan melihat baginda Nabi sebagai ikon hak asasi manusia kerana semangat moderat ini. Islam yang dibawa oleh baginda adalah Islam yang mengangkat hak kaum tertindas, sepertinya wanita pada zaman jahiliah.

Majid Khadduri, mantan profesor emeritus di School of Advanced International Studies Universiti John Hopkins menyatakan keadilan dalam Islam itu adalah kombinasi nilai moral, dan sosial yang mengacu kepada maksud kesaksamaan, keseimbangan, kesederhanaan atau pertengahan dan ketelusan.

Umat Islam menurut Khadduri lagi adalah dituntut untuk bersederhana dan telus selain menjauhi ekstremisme. Dalam bukunya, The Islamic Conception of Justice, Khadduri seterusnya menyatakan inilah sumbangan besar Islam untuk keadilan sejagat dan kemanusiaan.

Sukacita kita merujuk isi pandang Khadduri ini memandangkan sebelum berhijrah ke Amerika Syarikat pada tahun 1947, beliau bertugas bersama kerajaan Iraq, sebagai antara lain, salah seorang anggota delegasi Iraq yang menyertai “San Francisco Conference”, yang mana bertanggungjawab menyediakan United Nations Charter atau Piagam Pertubuhan Bangsa- bangsa Bersatu kemudiannya.

Maka tidaklah menghairankan jika gagasan hak asasi manusia moden 1948 ini kita hujahkan sebagai menjadi satu mercu tanda yang signifikan dan sinonim dengan ajaran Islam.

Kesederhanaan Rasulullah itulah yang perlu kita utama-ataskan demi melawan Islamofobia.

Dalam hal inilah, pada 23 September, 2023 apabila Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyampaikan khutbah Jumaat di Pusat Kebudayaan Islam New York (ICCNY), kandungan Islamofobia ini dianggap relevan.

Isunya bukan sangat beliau sebagai pemimpin asing pertama diberi penghormatan menyampaikan khutbah Jumaat oleh masjid pertama di New York yang dibuka pada 25 September, 1995 itu.

Isunya adalah komitmen Malaysia untuk menolak Islamofobia, yang kata Anwar dalam khutbah 20 minitnya: “Pengalaman di Malaysia yang juga negara kelahiran saya, ia adalah negara dengan penduduknya menganut pelbagai agama dan kami sebagai Muslim tetap mempromosikan Islam dan dalam masa sama bertoleransi untuk penduduk agama lain seperti Kristian, Buddha untuk mengamalkan agama masing-masing. Disebabkan itu saya melihat ini (Islamofobia) terjadi kerana kejahilan yang berleluasa, tindakan terburu-buru termasuk dalam kes membakar Al-Quran di Sweden.”

Islamofobia, suka tidak suka, terjadi kerana ada segelintir dalam kalangan kita, umat Islam yang ekstrem. Tindak tanduk golongan ekstrem ini yang memomokkan penganut bukan Islam secara tidak toleran menyebabkan Islam dijauhi atau disalah erti.

Pembunuhan atas nama agama, sektarianisme dan rasisme adalah contoh yang memualkan yang membuatkan Islam dipandang secara salah.

Kita perlu menggalakkan seramai mungkin bukan Islam di negara kita untuk membaca kitab suci Al-Quran dan memahami tafsirannya.

Jika ada dalam kalangan minoriti bukan Islam di negara kita menunjukkan minat terhadap kandungan Al-Quran, sikap terbuka, berlapang dada dan meraikan perlu dikedepankan. Hanya dengan itu Islam akan dilihat agama yang ramah, bukannya agama yang marah.

Jika agamawan sedia ada menyalak dan menyalahkan seseorang bukan Islam kerana merujuk Al-Quran hanya kerana semangat kepartian, maka dikhuatiri kita membiarkan nilai ekstrem ini menjadi sandaran awal.

Sebenarnya dalam banyak keadaan yang menjatuhkan Islam ke jurang Islamofobia itu bukan kerana ada orang jahil dan jahat membakar Al-Quran dengan hati busuk. Akan tetapi kerana ada dalam kalangan kita yang memutar-belitkan isi kitab suci itu mengikut selera sendiri yang membuatkan masyarakat bukan Islam tertanya-tanya.

Jika ada kemusykilan dalam kalangan mereka untuk mendorong kajian dan observasi mengenai kitab Al-Quran, mereka tidak harus dimusuhi tetapi bahkan dibimbing.

Rasulullah yang moderat sangat mengalu-alukan sikap sederhana, dan tentu, ia merangkumi kesantunan terhadap bukan Islam, agar Islam tidak dimusuhi.

Justeru, pada minggu kita meraikan kehebatan dan keunggulan baginda sebagai tokoh perpaduan sejati dalam umat, eloklah sirah atau hayat hidup baginda yang penuh liku berjuang untuk meredamkan kekerasan itu disambut dengan keinginan kepada Islam yang menjinakkan hati bukan Islam, bukan meliarkan mereka lagi. – 26 September, 2023.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen