Perikatan pilihan terbaik untuk DUN Pelangai, kata Muhyiddin


Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin berkata calon gabungan PH-BN tidak layak untuk mendapat mandat pengundi-pengundi Pelangai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 September, 2023.

MUHYIDDIN Yassin memberitahu pengundi di DUN Pelangai bahawa Perikatan Nasional (PN) adalah pilihan terbaik untuk mereka.

Pengerusi PN itu dalam satu kenyataan berkata calon gabungan Pakatan Harapan (PH)-BN tidak layak untuk mendapat mandat pengundi-pengundi Pelangai.

“Perikatan Nasional terbukti mempunyai rekod yang baik dalam membela nasib rakyat. Bukan seperti PH-BN yang sekadar pandai menabur janji tetapi gagal menjaga kebajikan rakyat.

“Sudah 10 bulan berlalu, masalah kekurangan bekalan telur telah melarat kepada masalah kekurangan bekalan beras tempatan. Rakyat hendak makan pun susah.

“Ini berbeza dengan dasar Perikatan Nasional yang mengutamakan rakyat dengan memastikan makanan sentiasa ada di atas meja,” katanya dalam satu kenyataan ketika kempen DUN Pelangai bermula.

PRK DUN Pelangai akan diadakan pada 7 Oktober.

PRK itu diadakan berikutan kematian bekas Adun Umno dan Exco Pahang Johari Harun dalam nahas pesawat berhampiran Bandar Elmina di Shah Alam pada 17 Ogos.

BN meletakkan Amizar Abu Adam, PN meletakkan Kasim Samat dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasli untuk pertarungan tiga penjuru.

Ini juga percubaan kedua Amizar memenangi kerusi DUN itu selepas bertanding di kerusi DUN Ketari pada pilihan raya umum tahun lepas.

Pengundian awal ditetapkan pada 3 Oktober.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Johari yang mewakili BN menang dengan majoriti 4,048 undi selepas memperoleh 7,308 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat (3,260), Ahmed Wafiuddin daripada Pakatan Harapan (2,031).

Calon Pejuang Isa Ahmad hilang deposit selepas menerima 65 undi.

Muhyiddin berkata kerajaan PH-BN melampaui batas dengan menyekat hak kebebasan bersuara dan mengarahkan pendakwaan yang tidak masuk akal.

Beliau mendakwa sekatan ke atas kebebasan bersuara juga menjadi lebih biasa di bawah kerajaan perpaduan.

“Bercakap soal hak Melayu pun disiasat oleh polis. Media yang melapor kritikan terhadap kerajaan pun diugut dan laman sesawang mereka disekat.

“Ahli Parlimen pembangkang yang kini 100% Melayu/Bumiputera seringkali disiasat oleh polis dan dihadapkan dengan pendakwaan yang karut-marut,” dakwanya dalam kenyataan yang disiarkan di Facebook.

Beliau menggesa pengundi untuk mengundi calonnya.

“Dengan mengambil kira perkembangan politik semasa tanah air, Perikatan Nasional adalah pilihan terbaik yang boleh diharapkan untuk membela nasib pengundi-pengundi di Pelangai,” katanya. – 24 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen