APABILA muncul dakwaan salah laku dan rasuah di dalam Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) minggu ini, ia hanya mengesahkan apa yang disyaki pemimpin pembangkang sejak sekian lama.
Ini kerana, setiap kali ahli politik Umno menjadi ketua syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sudah pasti berlaku pelencongan dalam urusan membuat keputusan sebagaimana skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Khabar mengenai salah laku dalam FGV yang dipercayai ramai sebagai punca saham syarikat perladangan terbesar di dunia merosot daripada RM5.55 seunit kepada RM1.66 dalam tempoh dua tahun lalu, mencapai kemuncak minggu ini apabila Ketua Pegawai Eksekutif Zakaria Arshad dan tiga yang lain digantung tugas.
Sejak itu, Zakaria dan Pengerusi FGV Isa Samad melancarkan perang mulut dalam media, dengan kedua-duanya menuduh pihak satu lagi dengan perbuatan salah laku.
Kelmarin, Zakaria sudah dipanggil ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberikan keterangan.
Semalam, badan anti rasuah itu menyerbu Ibu Pejabat Felda dan merampas dokumen berhubung urus niaga mencurigakan FGV.
“Masalah dengan Najib ialah dia di kelilingi orang tidak berkelayakan tetapi mendakwa pintar dalam ekonomi dan kewangan.
“Mereka ini yang ‘memerah’ apa sahaja sumber kewangan yang kerajaan ada,” kata Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong kepada The Malaysian Insight.
Ahli Jawatankuasa Pusat DAP itu berkata, sebelum ini, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) merupakan perkhidmatan sosial yang mempunyai perniagaan diuruskan dengan baik.
Beliau berkata, keputusan memperdagangkan nilai tanah Felda melalui pasaran saham seperti FGV merupakan satu tindakan yang “bodoh”.
“Apabila FGV wujud, Felda terdedah kepada speklulasi, manipulasi dan turun naik pasaran saham.
“Felda sangat bergantung kepada minyak sawit, komoditi diperdagangkan di peringkat antarabangsa yang berdepan dengan turun naik harga. Ini sahaja sudah sukar diuruskan,” katanya.
Najib musnahkan legasi Tun Razak
Pengarah Strategi Amanah Dr Dzulkefly Ahmad berkata, episod FGV menyaksikan bagaimana Najib “memangsakan” peneroka Felda tetapi memberikan kelebihan kepada “kroni Umno”.
“Rakyat masih ingat bagaimana peneroka hanya diperuntukan RM91 juta atau 2.5% daripada keseluruhan saham FGV yang diterbitkan sementara kroni Umno dengan istilah ‘pelabur Bumiputera yang diiktiraf MITI diperuntukkan 420 juta saham atau 11.5%,” katanya merujuk kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
“Dibahagikan di antara 112,635 keluarga peneroka, maka mereka hanya mendapat 810 saham seorang (tidak sampai satu unit bersamaan 1,000 saham) berbanding 28,368 saham yang diperuntukkan kepada setiap pekerja Felda (35 kali ganda).
“Jelasnya Najib-Isa sudah ‘memangsakan’ peneroka berbanding kerja dibuat Allahyarham ayahandanya, Tun Abdul Razak,” kata bekas ahli Parlimen Kuala Selangor itu.
Menurut Ketua Biro Strategi dan Dasar Bersatu Dr Rais Hussin, sebelum FGV wujud, Felda berada dalam keadaan untung dan mempunyai simpanan kewangan yang baik.
“FGV disebut-sebut sebagai IPO kedua terbesar selepas Facebook tetapi hari ini ditinggalkan dalam keadaan hampir hancur.
“Kesemua pihak berkepentingan seperti peneroka, agensi kerajaan dan badan berkanun seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengalami kerugian teruk,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Rais berkata, sudah sampai masa kerajaan membiarkan GLC seperti FGV diuruskan golongan profesional dan bukannya ahli politik supaya lebih fokus kepada asas perniagaan mereka.
“Lebih banyak fakta dijangka akan keluar dengan ketua pegawai eksekutif FGV yang digantung Zakaria dilihat tidak akan berdiam diri.
“Beliau melawan balik dan sebagai anak peneroka Felda, beliau berada dalam kedudukan terbaik untuk menyelamatkan Felda.
“Diharapkan Felda atau FGV tidak perlu di ‘bail out’ menggunakan wang pembayar cukai atau lebih parah lagi terpaksa dijual kepada syarikat asing.”
Taklimat kepada Parlimen
Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata, sama ada betul atau salah, kita perlu melihat kepada apa yang dijanjikan semasa menyenaraikan FGV tercapai atau tidak.
“Jika angka kegagalan lebih banyak daripada kejayaan, ternyata penyenaraian ditakdirkan gagal sejak mula lagi.
“Najib perlu dedahkan maklumat ini kepada Parlimen dengan serta-merta,” katanya.
Bagi Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar pula, kepincangan yang berlaku di dalam FGV pada hari ini sudah pasti berpunca daripada Najib.
“Felda di bawah dia. Pelantikan pengerusi Felda dan pengerui FGV dilakukannya.
“Saya percaya campur tangan Najib yang membawa lebih banyak kerosakan. Saya percaya apa yang diputuskan lembaga pengarah FGV mendapat restu Najib,” kata pemimpin PAS itu. – 9 Jun, 2017.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Khan sarip · Ulasan