PRK Pelangai bermula hari ini


Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan pengundian awal PRK Pelangai pada 3 Oktober manakala 7 Oktober sebagai hari pengundian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 September, 2023.

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai bermula hari ini dengan pusat penamaan calon di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul di Bentong akan dibuka pada 9 pagi nanti.

Semua calon mempunyai tempoh sejam hingga 10 pagi ini untuk menyerahkan borang pencalonan kepada pegawai pengurus pusat penamaan calon sebelum diisytiharkan layak bertanding.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan pengundian awal pada 3 Oktober manakala 7 Oktober sebagai hari pengundian.

Kempen PRK itu ditetapkan selama 14 hari bermula hari ini hingga detik 11.59 malam, 6 Oktober.

Rabu lepas, Barisan Nasional (BN) menamakan Ahli Jawatankuasa Umno Bentong Amizar Abu Adam, 50, sebagai calon bertanding di kerusi DUN itu manakala Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Bentong Kasim Samat, 62, bakal mewakili Perikatan Nasional (PN).

Selain itu, Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang Haslihelmy DM Zulhasli, 36, dijangka turut bertanding pada PRK tersebut.

Seramai 16,456 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 36 anggota polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara. 

PRK DUN Pelangai diadakan susulan kematian penyandangnya Johari Harun, 53, akibat nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas.

Sementara itu, menurut Pengarah Jabatan Meteorologi Pahang Nazian Zainal Abidin, keadaan cuaca di Pelangai diramal cerah pada sebelah pagi. – Bernama, 23 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen