Malaysia alu-alukan kenyataan Arab Saudi mahu selesaikan konflik di Yaman


Malaysia memuji usaha Arab Saudi, Kesultanan Oman dan PBB. – Gambar EPA, 22 September, 2023.

MALAYSIA mengalu-alukan kenyataan Kementerian Luar Arab Saudi pada 14 September mengenai penyelesaian konflik di Yaman.

Pengisytiharan itu adalah satu langkah ke arah membina keamanan berkekalan dan penyelesaian politik berdaya maju yang boleh diterima oleh semua pihak serta mengandungi jemputan kepada delegasi dari Sana’a, Yaman untuk melawat Arab Saudi.

“Malaysia memuji usaha yang diketuai oleh Kerajaan Arab Saudi, Kesultanan Oman dan Duta Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Yaman bagi menamatkan krisis di negara itu.

“Ini sudah tentu akan menyumbang kepada keamanan, keselamatan dan kestabilan di rantau ini,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra).

Pada 14 September, Agensi Akhbar Saudi (SPA) melaporkan Arab Saudi menjemput delegasi Houthi Yaman ke Riyadh untuk melanjutkan rundingan gencatan senjata.

“Arab Saudi mahu menyambung semula usahanya dengan Oman untuk mencapai persetujuan gencatan senjata yang kekal dan menyeluruh di Yaman dan penyelesaian politik yang mampan yang boleh diterima oleh semua parti Yaman,” menurut SPA. – Bernama, 22 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen