2 wartawan Perancis dihantar balik daripada buat liputan gempa Maghribi


Lebih 2,000 nyawa terkorban dalam kejadian gempa bumi sekuat 6.8 magnitud yang melanda Maghribi pada 8 September lalu. – Gambar Facebook, 22 September, 2023.

TIDAK kurang daripada 312 wartawan asing membuat liputan mengenai gempa bumi Al Haouz di Maghribi bagaimanapun dua daripada mereka yang merupakan warga Perancis diusir kerana melanggar undang-undang.

Maghreb Arabe Presse (MAP) melaporkan demikian memetik kenyataan Menteri Perwakilan yang bertanggungjawab bagi Perhubungan dengan Parlimen Mustapha Baitas pada Khamis.

“Kedua-dua warga Perancis yang dihantar pulang (kerana) tidak memohon sebarang kebenaran untuk membuat laporan mengenai gempa bumi Al Haouz,” kata Baitas pada taklimat akhbar pada akhir majlis kerajaan sambil menambah mereka memasuki Maghribi untuk tujuan pelancongan.

Beliau yang juga jurucakap kerajaan berkata untuk itu adalah perkara biasa bagi mereka tertakluk kepada langkah pengusiran yang dibuat menggunakan peruntukan undang-undang berkaitan.

Baitas juga berkata terdapat tidak kurang daripada 312 wartawan asing mewakili 90 media terlibat membuat liputan mengenai gempa bumi yang bertugas secara bebas dan telus di semua wilayah yang terjejas.

“Daripada jumlah ini, 78 wartawan atau satu perempat terdiri daripada warga Perancis yang mewakili 16 media, 13 daripadanya bertauliah untuk melaporkan gempa bumi dan tiga daripadanya mempunyai akreditasi tetap,” katanya.

“Negara kita telah menunjukkan ia adalah sebuah negara yang telus dan bebas memastikan semua wartawan menjalankan tugas mreka secara bebas sepenuhnya”, katanya. – Bernama, 22 September, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen