Kuasa dan daulah


Hishamuddin Rais

Kerajaan campuran PH dan Umno pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dicemuh sebagai kerajaan cakap tak serupa bikin. – Gambar EPA, 22 September, 2023.

SAYA selalu ketawa bila membaca bagaimana kerajaan madani pimpin Anwar Ibrahim hari ini diubah suai untuk dipanggil sebagai kerajaan madanon.

Kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH) dengan United Malays National Organisation ini dicemuh sebagai kerajaan cakap tak serupa bikin. Cakap lain buat lain.

Justeru kerajaan Madani dinobatkan sebagai kerajaan munafik atau kerajaan hipokrit. Saya hanya ketawa kah kah kah. Amin

Awalnya ketika kempen PRN enam negeri sedang berjalan Zahid Hamidi di Terengganu membuat janji kepada Kelab Motor. Janji Zahid amat mudah: Undi calon Barisan Nasional (BN) akan dapat tambahan dana dari apa yang telah dihulurkan pada petang itu.

Heboh. Heboh. Ada menuduh ini rasuah. Ada menuduh ini beli undi. Malah NGO Bersih juga masuk setakuk minta SPRM melakukan siasatan ke atas Zahid. Kah kah kah. Saya ketawa terbahak-bahak.

Saya tergolek dog ketawa apabila saya melihat kembali klip video janji Rafizi tentang harga barang.  Musuh politik Rafizi mengulang sebar klip ini berkali-kali. Saya ketawa bila melihat ramai warga Internet marah bila melihat dan mendengar janji Rafizi yang tidak ditunaikan.

Janji dicapati tidak ditepati.

Warga Internet juga marah dengan Anwar. Mereka marah sampai tersumbat urat kentut apabila melihat entah untuk kali ke berapa klip janji Anwar tentang harga minyak.

“... Esok kita menang, harga minyak diturunkan…” Kah kah kah. Amin.

Paling klasik ialah klip video lawak berdiri Mat Sabu: “... Pengerusi 1MDB minta duit dari menteri kewangan, menteri wewangan  minta dana dari PM, perdana menteri minta dana dari Najib. Najib pengerusi 1MDB minta dana dari Najib menteri kewangan yang luluskan oleh Najib perdana menteri.”  Kah kah kah. Lawak berdiri terbaik dari Mat Sabu.

Ratusan ribu warga Internet menghamburkan sumpah seranah kepada Anwar bila teringat akan kata-kata Anwar: “... Jawatan menteri kewangan tidak boleh diambil oleh perdana menteri.”

Pelik lagi benar hingga ke hari ini Mat Sabu tidak pula memberi apa-apa komen tentang perdana menteri Anwar yang juga menteri kewangan.

Apakah ini yang dikatakan hipokrit atau munafik. Untuk saya semua ini lawak berdiri genre politik paling cun. Kah kah kah.

Kemudian kes Zahid. Selama ini Zahid menjadi kavadi yang dipikul PH untuk menuju ke Putrajaya. Zahid dibebaskan dari 47 tuduhan rasuah, alih duit haram dan salah guna kuasa. 

Pembebasan ini diharapkan akan meringankan beban kavadi rasuah PH. Tetapi sebaliknya berlaku.

Heboh. Heboh kes Zahid ini macam nak kiamat. Semua yang ada suara telah bersuara. Pak Haji dan Pak Lebai, YB politikus dan pemimpin parti pembangkang semua bersuara.

Majlis Peguam, Bersih, Lawyer for Liberty – semua menyatakan tidak puas hati terhadap pembebasan Zahid. Malah Puan Ambiga dan Puan Maria Chin bekas pemimpin Bersih juga menyatakan rasa hairan lagi jelik terhadap pembebasan Zahid.

Semua bersuara mempersoalkan kenapa Zahid ini dibebaskan.

Dulu ketika Anwar berhadapan dengan kes meliwat Saiful Bukhari, si Anwar ini dihantui oleh DNA. Polis menangkap Anwar untuk mengambil DNA Anwar. Polis mahu mengenal pasti apakah DNA Anwar ini sama seperti DNA air mani yang ditemui dalam lubang dubur Saiful. 

Kali ini dengan kes Zahid sekali lagi si Anwar ini dihantui bukan oleh DNA Zahid tapi oleh DNAA Zahid. Kah kah kah.

Kes DNAA Zahid ini memang heboh. Satu Malaysia heboh bagai nak rak. Lebih heboh dari Jom Heboh.

Dalam heboh-heboh ini ada pelik tetapi benar terjadi. Di Malaysia ini ada dua orang yang tidak heboh menyuarakan pandangan tentang DNAA Zahid. Dua sosok ini selalunya akan bersuara dalam apa saja hal. Jika gajah terkentut dan unta berak cair di Zoo Negara pun Lim Kit Siang dan Ramasamy akan bersuara memberi pandangan.

Kali ini dua pemimpin DAP yang dikenali sebagai kaki komen senyap membisu macam cicak berak kapur.

Sahih lagi afdal di Malaysia yang tidak heboh tentang kes DNAA Zahid ini hanya Lim Kit Siang dan Ramasamy. Malah Tony Loke pemimpin besar DAP sendiri mahu penjelasan kenapa Zahid dibebaskan dari peguam negara. Amin.

Heboh paling akhir ialah heboh bila ada beberapa sosok penganjur Demo Dakwa Zahid dipanggil polis. Mereka disiasat kerana menganjur demo dakwa Zahid.

Paling lawak ada pula kenyataan dari NGO dan YB parti pembangkang yang menyebut fakta sejarah bagaimana kerajaan Pakatan Harapan yang berkuasa hari ini berjaya berkuasa kerana berdemo.

“Dulu mereka juga berdemo. Mereka boleh, kita tak boleh. Kita dipanggil polis. Ini namanya kerajaan hipokrit.” Ini seperti isi ucapan Syed Saddiq.

Bila mendengar ini saya ketawa terbahak-bahak. Ada apa yang lucu?

Sebenarnya yang menjadikan saya ketawa ialah kegagalan sosok ini untuk memahami apa itu kuasa. Gagal memahami apa itu daulah. Gagal memahami kuasa daulah.

Pada 13 April 1655 dalam Parlimen di Paris, Louis ke-14 – Raja Perancis dan Navarre berkata:  L’État, c’est moi. I am the state. Beta adalah daulah.

Dari persejarahan tarikh ini adalah simbol absolute monarchy atau monarki mutlak.

Apakah Anwar nak jadi macam Raja Louis ke-14? Apakah kerajaan madani ini nak jadi kerajaan monarki mutlak ?

Sabar dulu biar saya beri pencerahan.

Di Malaysia kita bukan memakai sistem monarki mutlak seperti di Arab Saudi atau di Brunei. Kita mengamal sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.

Betul. Kita memakai sistem demokrasi berparlimen. Tapi jangan lupa jangan lalai Malaysia ini negara dunia ketiga. Apa yang wujud dalam negara dunia ketiga seperti di Malaysia ini adalah prosedur demokrasi. Kulitan demokrasi bukan pengisian demokrasi. Kulit bukan isi.

Kita ada pilihan raya. Kita ada Parlimen. Kita ada lembaga kehakiman. Kita ada TV dan radio, kita ada akhbar, kita ada sekolah, kita ada universiti. Semua ini alat membantu demokrasi bukan bermakna dengan wujudnya benda-benda ini maka demokrasi dan hak kebebasan wujud.

Bro, kalau lu masih tak sedar perkara ini, lu isap apa? Kah kah kah.

Jangan sesekali lupa di belakang semua ini adalah kuasa. Kuasa ini muncul dari kuasa politik. Kuasa politik ini adalah kuasa daulah.

Kuasa daulah ini datang dari undi. Siapa dapat banyak undi dia menang. Siapa menang dia berkuasa. Ini hukum demokrasi. Ini Perlembagaan Malaysia.

Ada apa dengan kuasa? Kenapa perlu kuasa?

Di belakang kuasa ini ialah harta kekayaan. Ada berbilion bertrilion berjuta bilion ringgit dolar dan dinar. Justeru merebut kuasa adalah merebut harta.

Parti Demokrasi, Parti Islam, Parti Kapir, Parti Komunis, Parti Liberal, semua berjuang untuk merebut kuasa. Dengan kuasa berupaya merebut harta kekayaan.

Jangan sesekali lupa bila membaca politik. Jangan tidak masukan perkara merebut harta ini sebagai latar apabila menganalisis politik Malaysia sekarang.

Bagaimana dengan janji sebelum PRU? Bagaimana dengan perjuangan Reformasi?

Janji dibuat sebelum mengundi. Janji dalam ceramah politik. Janji politik, janji ekonomi dan janji hak asasi dalam manifesto ini bertujuan mengolah persetujuan.

Janji ini dibuat untuk memastikan calon akan dapat undi.

Mengolah persetujuan ini bukan payah. Kepada Mak Cik dan Pak Cik Felda dijanjikan harga sawit mahal. Kepada penanam padi dijanjikan subsidi baja. Kepada anak muda di universiti dijanjikan lupus hutang PTPTN. Kepada masyarakat kelas menengah dijanjikan suasana liberal yang lebih selesa.

Kepada NGO dan aktivis sosial dijanjikan ruang demokrasi yang lebih terbuka. Kepada kaum peniaga dijanjikan suasana pelaburan yang mudah.

Kepada Pak Lebai dan Mak Aji ada operasi tangkap kedai jual jam logo pelangi. Kepada Pak Aji dan Mak Aji dilakukan tangkapan merpati dua sejoli dalam hotel bajet di Chow Kit.

Sesekali PDRM akan melakukan tangkapan dadah. Dadah yang terbungkus ditangkap bukan tokan towkay atau tanpa Tan Seri tuan empunya dadah tertangkap sama. Ini tidak berlaku.

Semua ini bertujuan mengolah persetujuan. Yakinlah bahawa mengolah persetujuan ini telah menjadi seni hingga ramai malah majoriti warga terpengaruh.

Apakah ini bermakna kerajaan madani yang dituduh hipokrit ini tidak membawa apa-apa perubahan?

Apakah sekali air bah sekali pasir berubah? Perubahan pasti ada. Ini jelas dapat dilihat.

Perubahan yang berlaku dari Mahathir ke Muhyidin ke Ismail Sabri ke Anwar ialah perubahan sosok. Air bah berlaku tetapi pasir tidak berubah.

Anwar ganti Ismail. Tengku Zafrul ganti Azmin. Saifuddin ganti Hamzah. Air mengampuh bah tapi pasir tetap di situ. Sosok berubah tatapi sistem tidak berubah.

Di belakang sistem kerajaan ini ada satu lagi sistem daulah. Sistem inilah yang sebenarnya mengendalikan negara kita. 

Apakah bukan Anwar yang mengendalikan negara kita ini? Anwar? Siapa Anwar? Kah kah kah.

Kalau bukan Anwar yang mengendalikan negara kita ini bermakna bukan Anwar yang membebaskan Zahid. Bermakna bukan Fahmi Fadil yang suka menutup Tik Tok. Bukan Saifuddin yang beri arahan tangkap Cikgu Bard. Sapa sebenarnya berkuasa sekarang?

Mu duduk baik-baik ambo nak royak. Ambo nak beri pencerahan.

Di belakang PRU, di belakang PRN, di belakang perdana menteri, di belakang jemaah menteri, di belakang PDRM, di belakang SPRM dan di belakang segala macam M ialah daulah terpendam.

Siapa daulah terpendam ini? Apakah Anwar, apa kah Mat Sabu apakah Rafizi daulah terpendam?

Raja Louis ke-14 berkata: Beta adalah daulah.

Apakah Anwar nak jadi macam Raja Louis ke-14? Kesah kuasa politik dan kuasa daulah belum selesai tunggu minggu hadapan. Amin. – 22 September, 2023.

* Hishamuddin Rais ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen