AMERIKA Syarikat (AS) pada Isnin menyatakan kebimbangannya terhadap dakwaan Kanada yang mengaitkan India dengan pembunuhan seorang aktivis Sikh Kanada.
“Kami amat bimbang terhadap dakwaan yang dirujuk oleh Perdana Menteri (Justin) Trudeau awal hari ini,”
“Kami sentiasa berhubung dengan rakan kongsi kami di Kanada. Siasatan perlu dilakukan dan pesalah dibawa ke muka pengadilan,” kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara Rumah Putih, Adrienne Watson dalam satu kenyataannya kepada Agensi Anadolu.
Kenyataan itu dikeluarkan beberapa jam selepas Trudeau mendakwa agensi keselamatan Kanada menyiasat dakwaan kemungkinan terdapat hubungan antara ejen kerajaan India dan pembunuhan seorang warga Kanada, Hardeep Singh Nijjar.
Nijjar, seorang pemimpin Sikh di wilayah British Columbia barat Kanada, ditembak mati pada 18 Jun di hadapan sebuah kuil Sikh di bandar Surrey. Tiada tangkapan dibuat.
Nijjar, warga Kanada, adalah penyokong lantang tanah air Sikh dalam bentuk negara Khalistani merdeka di India.
Menteri Luar Melanie Joly berkata Kanada memecat seorang diplomat India dan menggesa kerjasama penuh India “untuk menyelesaikan masalah ini”.
Menurut laporan, diplomat itu ialah Pavan Kumar Rai, ketua Penyelidikan dan Analisis (RAW), agensi perisikan asing India, yang berpejabat di Kanada.
Kementerian Luar India berkata dakwaan itu “tidak masuk akal dan mempunyai motif.”
Hubungan dengan India semakin tegang sehingga kerajaan Kanada menangguhkan misi perdagangan ke India yang dijadualkan pada 9 Oktober. – Bernama, 19 September, 2023.
Komen