
AHLI politik mesti berhenti memainkan sentimen perkauman dan agama yang berpotensi menakutkan pelancong asing sekali gus menjejaskan industri pelancongan negara, gesa Tiong King Sing.
Menteri pelancongan, seni dan budaya itu berkata situasi ini sudah pasti turut memberi kesan buruk kepada ekonomi negara.
“Paling mustahak, kita mahu sebelah sana (pembangkang) bekerjasama (promosi Malaysia). Jangan sikit-sikit perkauman, sikit-sikit perkauman.
“Saya terus terang, pelancong-pelancong dari China ada beritahu ‘kita patut pergi (ke Malaysia) atau tidak’.
“Kita mesti bekerjasama promosikan negara barulah kita akan maju,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Ting menjawab Mohd Radzi Md Jidin (Putrajaya-Perikatan Nasional) yang bertanya berhubung langkah kerajaan untuk menarik lebih ramai pelancong asing melawat ke negara ini bagi meningkatkan ekonomi.
Tiong berkata, Malaysia menerima 26.1 juta pelancong pada 2019 sebelum pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia.
Menurut beliau, penularan Covid-19 telah menyebabkan industri pelancongan negara terjejas teruk ekoran penutupan sempadan bagi membendung wabak. Malaysia mula menerima pelancong asing pada April tahun lalu.
Tambahnya, Malaysia merekodkan kira-kira 16.1 juta pelancong asing pada tahun ini, mengambil kira faktor kemudahan infrastruktur dan kesalinghubungan penerbangan yang terhad.
“Selain itu, pasaran pelancongan utama negara iaitu China hanya membuka sempadan antarabangsa pada Mac 2023..
“Sehingga minggu ketiga Ogos 2023, jumlah pelancong asing berjumlah 12.17 juta.
“Dengan baki empat bulan sehingga Disember 2023, kementerian berharap jumlah pelancong akan terus meningkat melebihi sasaran,” jelas Tiong. – 19 September, 2023.
Komen