Ahli Parlimen PKR gesa tambah dana untuk martabat masyarakat India


Ravin Palanisamy

Kira-kira 850,000 warga India dalam kategori B40 di negara memerlukan pelbagai bantuan dan perhatian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 September, 2023.

SEORANG ahli Parlimen kerajaan menggesa peruntukan untuk masyarakat India dalam belanjawan akan datang ditambah bagi meningkatkan taraf hidup golongan B40.

Ahli Parlimen Sungai Siput Kesavan Subramaniam berkata kerajaan boleh berbuat demikian dengan menambah peruntukan kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) daripada RM100 juta kepada RM500 juta.

Belanjawan 2024 akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan pada 13 Oktober ini.

Kerajaan kini sedang mengadakan sesi perbincangan dengan semua pihak berkepentingan.

“Bantuan kerajaan yang disalurkan melalui Mitra tidak mencapai sasaran yang akan meningkatkan kesejahteraan masyarakat India ke tahap yang diingini.

“Peruntukan RM100 juta kepada Mitra tidak dapat menampung keperluan jurang ketara yang wujud dalam pelbagai lapisan dan kumpulan sasar masyarakat India.

“Saya mencadangkan RM500 juta diperuntukkan dalam Belanjawan 2024,” kata Kesavan kepada The Malaysian Insight.

Mitra ialah unit pemerkasaan masyarakat India di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Ia ditubuhkan di bawah pentadbiran Najib Razak sebagai Unit Pembangunan Ekonomi Masyarakat India (SEDIC) tetapi kemudiannya dijenamakan semula sebagai Mitra.

Kesavan berkata bantuan kewangan Putrajaya sahaja tidak mencukupi untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat India di negara ini.

Beliau berkata 65% masyarakat India di sini adalah daripada golongan berpendapatan rendah dan purata gaji isi rumah mereka adalah sekitar RM3,500.

“Kira-kira 850,000 warga India dalam kategori B40 memerlukan pelbagai bantuan dan perhatian,” katanya.

Kesavan dari PKR juga menegaskan peratusan penjawat awam India menurun daripada 9.8% kepada 5.2% sejak 24 tahun lalu.

Beliau berkata masyarakat India perlu diberi lebih banyak peluang dalam sektor awam serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Suruhanjaya Perkhidmatan Awam perlu diberi petunjuk prestasi utama bagi meningkatkan pengambilan penjawat awam dalam kalangan masyarakat India supaya dapat ditingkatkan kepada 6% dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Pasukan Petugas Pelaksanaan Khas Masyarakat India (SITF) serta Jabatan Perkhidmatan Awam perlu memastikan pengambilan penjawat awam masyarakat India dipantau dalam usaha memastikan perwakilan seimbang dalam sektor perkhidmatan awam,” katanya.

Kesavan menyatakan keyakinannya terhadap kepimpinan Anwar berkata perdana menteri itu pasti akan membantu masyarakat India yang merupakan antara masyarakat termiskin di negara ini. – 19 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen