
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Azalina Othman Said hari ini membidas kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini kerana gagal memisahkan peranan pendakwa raya dan peguam negara (AG) semasa berkuasa.
Menjawab Hamzah Zainudin (Larut-PN), yang menggesa kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya tidak melakukan pendakwaan terpilih dan bertindak adil, Azalina menjawab dengan berkata pentadbiran sekarang komited kepada tadbir urus yang baik.
“Mengapa kerajaan PN tidak memisahkan kuasa pendakwa dan AG semasa Yang Berhormat (Hamzah) berkuasa?” kata ahli Parlimen Pengerang.
“Jangan bercakap tentang pendakwaan terpilih kerana kerajaan Madani komited kepada tata kelola yang lebih adil. Itulah sebabnya kami ni hashtag dia ‘we walk the talk’.
“Mereka hashtag ‘they don’t walk dan they don’t talk’.”
Hamzah, yang merupakan ketua pembangkang, membangkitkan dakwaan pendakwaan terpilih terhadap Pengerusi PN Muhyiddin Yassin, menyifatkannya sebagai “pendakwaan politik”
“Pada pandangan kami, ini disifatkan sebagai satu tindakan politik. Satu penindasan.
“Inilah sebabnya kita dapati kerajaan hari ini melakukan sesuatu yang tidak masuk akal.
“Kebanyakan perkara serupa ini membuatkan kita rasa kerajaan tidak ikhlas ketika menjalankan tugas,” kata Hamzah.
Azalina memberi jaminan kerajaan Madani komited untuk memisahkan pejabat Peguam Negara dan pendakwa raya.
Minggu lalu, beliau berkata dua pasukan petugas khas akan dibentuk untuk mengkaji dan mempercepatkan proses itu.
Azalina berkata pasukan petugas itu akan merangkumi wakil daripada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Pembaharuan Institusi, penggubal undang-undang pembangkang, Jabatan Peguam Negara dan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang.
Beliau berkata pasukan petugas teknikal akan menyediakan laporan interim dalam tempoh satu tahun mengenai Penyelidikan Empirikal Komprehensif mengenai pengasingan peranan.– 18 September, 2023.
Komen