Keresahan Bani Melayu


Hishamuddin Rais

Bani Melayu gelisah resah kerana untuk pertama kalinya dalam sejarah moden tamadun Tanah Melayu, perdana menteri yang dilantik bukan datang dari parti Melayu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 September, 2023.

HARI ini ramai warga sedar politik Malaysia sesudah PRU15 masih terumbang ambing. Kita tidak perlu pergi belajar ke Oxford atau ke Harvard University untuk membaca, melihat dan memahami apa yang berlaku.

Hari ini ramai warga melihat negara tidak terurus dan semakin bercelaru walaupun telah hampir setahun kerajaan baru ditubuhkan.

Kerana ini ramai warga, ramai penganalisa dan pemerhati politik memberi sebab itu dan sebab ini.

Ada yang menuduh Anwar gagal. Kini Anwar menjadi selebriti berjoget terpekik terlolong ke sana sini.

Anwar tidak boleh buat kerja. Anwar tidak masuk pejabat dan fail kini membukit. Banyak jawatan GLC masih belum diisi.

Tidak cukup dengan berita ini timbul pula cerita apabila Anwar buka mulut dia berbohong. Semua janji jadi capati. Anwar dicap sebagai kaki putar numero uno.

Ada warga dan pemerhati politik yang memberi pandangan bahawa jemaah menteri kabinet Anwar tidak ada pengalaman dan ada yang tidak cerdik.

Justeru, kerana keadaan ini maka yang paling resah gelisah ialah Bani Melayu. Tidak Bani China. Tidak Bani India.

Hakikatnya Bani Melayu makin gelisah. Bani Melayu makin resah. Bani Melayu merasa tidak selesa. Perasan resah dan gelisah ini tidak difahami secara tuntas. Hanya dirasakan.

Resah gelisah wujud tetapi Bani Melayu secara ilmiah lagi tuntas mereka tidak tahu dari mana punca kegelisahan ini datang.

Virus yang mengganggu Bani Melayu ini dari mana? Dari bilik makmal mana bocornya virus yang menjadikan Bani Melayu gelisah resah dalam negara mereka sendiri?

Tulisan ini cuba memberi satu jalur pandangan untuk mencari sebab musabab yang mewujudkan kegelisahan Bani Melayu.

Sebenarnya sebab musabab wujud kegelisahan Bani Melayu ini cukup jelas. Memahaminya tidak memerlukan ilmu bedah otak.

Bani Melayu gelisah resah kerana untuk pertama kalinya dalam sejarah moden tamadun Tanah Melayu, perdana menteri yang dilantik bukan datang dari parti Melayu.

Najib, perdana menteri walau pencuri yang dimasukan ke dalam penjara, masih berasal dari parti Melayu – parti United Malaya National Organisation.

Mahathir ketika dilantik kali kedua berasal dari Parti Melayu Bersatu. Begitu juga Muhyiddin. Ismail Sabri pengganti Muhyiddin juga dari parti Melayu, United Malaya National Organisation.

Tetapi Anwar bin Ibrahim yang menjadi Perdana Menteri ke-10 setelah PRU15 bukan dari parti Melayu. Anwar yang dipilih jadi PM bukan berasal dari parti Melayu.

Parti Melayu

Anwar datang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR). Parti ini bukan parti Melayu.

PKR klim parti berbilang bangsa, bukan eksklusif parti Melayu. Ada India, ada China, ada Baba dan ada Yang Lain dalam PKR.

Jangan silap baca: Anwar bin Ibrahim adalah Melayu. Hanya Anwar tidak memimpin parti Melayu.

Justeru kerana PM kali ini bukan dari parti Melayu maka semenjak selesai PRU15 kita lihat suasana politik Tanah Melayu semakin tidak stabil – porak peranda tunggang langgang. Retak menunggu belah.

Tidak ada pula pemerhati dan penganalisa politik berkata dengan sempoi “... Anwar bukan dari  parti Melayu… bukan dari Umno… Bersatu… PAS… ini sebab orang Melayu jadi huru hara … gelisah…”

Bani Melayu keseluruhan kini melihat kuasa  politik Tanah Melayu telah terlepas dari tangan Melayu. Hakikat ini adalah hakikat empirikal lagi ilmiah.

Malah amat jelas dalam realpolitik jumlah YB DAP lebih ramai dari  YB  PKR. Dalam Parlimen DAP ada 42 kerusi. PKR hanya ada 31 kerusi. Jumlah 42 lebih ramai daripada 31.

Dalam sistem demokrasi mengundi dan pungutan suara pastilah suara 42 YB DAP lebih kuat daripada suara 31 YB PKR.

Tambah meresahkan lagi dalam PKR sendiri masih ramai YB yang bukan Melayu.

Jeng jeng jeng, sampai media sosial. Masuk Tik Tok. Kempen PKR jadi kuda DAP bermula.

Justeru kempen Tik Tok yang menggambarkan PKR ditunggang oleh DAP menusuk dan menggigit. Kempen naratif ini, di media sosial, berjaya. Naratif DAP menunggang PKR ini amat-amat  diyakini oleh Bani Melayu.

Bani Melayu melihat kuasa politik kini telah masuk ke tangan parti DAP. Parti DAP ini walaupun klim sebagai parti berbilang bangsa masih dilihat oleh Bani Melayu sebagai parti Bani Cina.

Tidak semua Bani Melayu buta sejarah.

Bani Melayu sedar fakta yang mana sejarah DAP ini berasal usul daripada Parti Peoples’s Action Party (PAP) yang dikepalai oleh Lee Kuan Yew.

Sosok Lee Kuan Yew ini dengan licik berjaya mengambil pulau Singapura yang asalnya sebahagian daripada Tanah Melayu untuk  dijadikan wilayah Bani Cina.

Dari suasana ini muncul dua naratif induk dalam landskap politik Tanah Melayu hari ini.

Pertama: Kuasa politik Melayu telah hilang daripada milik Bani Melayu. Kedua: Parti PKR sedang ditunggangi oleh DAP.

Untuk memperkukuhkan naratif PKR jadi kuda tunggang ini dibuktikan bahawa PKR tidak memiliki sokongan Melayu.

Bukan sahaja dalam PKR ramai YB bukan Melayu malah dalam  undi pilihan raya juga YB Melayu hanya menang dengan undi Bani Cina a.k.a  undi Cina penyokong DAP.

PKR tidak mendapat sokongan Melayu ini bukan mitos politik. Bukan propaganda politik. Ini terbukti secara ilmiah bahawa sokongan Melayu terhadap PKR tidak melintasi 20%.

Kajian demi kajian. Pungutan suara demi pungutan suara telah dijalankan. Merdeka Center dan Ilham Center membuat kajian mendapati Bani Melayu tidak menyokong PKR.

Sekali lagi kita tidak perlu belajar politik di Oxford University atau di Yale University.

Memadai kita rujuk keputusan pilihan raya enam negeri yang baru selesai untuk memahami sokongan Melayu terhadap PKR.

Rata-rata keputusan PRN di enam negeri membuktikan Bani Melayu tidak menyokong PKR. Negeri lubuk Melayu – Kedah, Terengganu, dan Kelantan, semuanya menyokong Bersatu atau PAS.  

Malah di Selangor, di wilayah lubuk-lubuk Melayu, calon PKR, calon Amanah atau calon United Malays National Organisation semua bungkus.

Di Pulau Pinang lebih menakjubkan. Paling tertonggeng ialah tiga DUN di Permatang Pauh, semuanya jatuh ke tangan Perikatan Nasional. Permatang Pauh adalah kubu kuat kampung asal Anwar Ibrahim.

Permatang Pauh ialah kerusi tradisional anak beranak Anwar. Ketika Anwar dalam penjara kerusi ini dimiliki oleh isteri Anwar.

Sesudah itu kerusi yang sama diduduki oleh anak Anwar.  Kali ini semua bungkus.Parlimen kalah dan tiga DUN lingkup.

Bukan sahaja profesor dari Oxford akan tersenyum membaca kisah Permatang Pauh ini, malah profesor dari Sintuk juga akan akur bahawa Bani Melayu tidak lagi menyokong Anwar bin Ibrahim.

Kenapa Bani Melayu tidak menyokong PKR? Kenapa Bani Melayu tidak menyokong Anwar Ibrahim?

Apakah kerana Anwar dituduh meliwat Saiful Bukhari? Kes liwat ini menjadikan Bani Melayu tidak percaya kepada Anwar? Mungkin betul, mungkin tidak.

Islam tergugat

Tapi apa yang jelas, kempen media sosial yang menggambarkan Islam sedang terancam adalah sebab utama. Islam dihebohkan sebagai sedang digugat.

Yang mengancam Islam, yang menggugat Islam, pastilah DAP, parti milik Bani Cina. Malah DAP dituduh sebagai Parti Komunis yang antiagama dan anti-Islam.

Malah Hadi pemimpin Pas menganggap kerajaan Anwar Ibrahim ini sebagai kerajaan luar tabii. Kerajaan yang ditunggangi oleh DAP yang anti-Islam.

Ancaman terhadap Islam ini menjadi satu kempen yang berjaya. Bani Melayu mendengar Islam diancam ini dari kuliah-kuliah tidak resmi di masjid.

Mereka juga melihat apa yang berlaku di hadapan mata. Bani Melayu merasa yakin akan naratif Islam diancam.

Propaganda dan naratif “Islam Diancam” dari Tik Tok, dari YouTube, dari Facebook, dari Ustaz YouTube inila yang menjadikan Perikatan Nasional mendapat kemenangan besar dalam PRN 6 Negeri.

Bom

Untuk mempertahankan Islam yang sedang terancam Perikatan Nasional dan para penyokong memiliki empat bom nuklear.

Empat bom nuklear ini ialah Liberal, Plural, Sekular dan LGBT. Bom-bom ini jika dilepaskan ke wilayah  PKR pasti akan memusnah dan menghancurkan saki baki sokongan Bani Melayu kepada PKR.

Contoh terbaik bagaimana bom ini bergerak telah dibuktikan dalam PRN 6 Negeri yang lalu.

Kiraan undi awal adalah bukti ilmiah bahawa Bani Melayu tidak lagi menyokong  PKR. Justeru pengundi Melayu percaya Islam sedang terancam.

Pengundi awal terdiri daripada pegawai kerajaan, polis dan tentera. Mereka ini hampir 100% Bani Melayu. Mereka menjadi pengundi awal kerana bertugas pada hari mengundi.

Apabila kertas undi dibuka jelas dibuktikan hampir 80% hingga 90% pengundi awal telah menolak Pakatan Harapan. Pengundi awal telah memberikan undi kepada Perikatan Nasional.

Pelik tetapi benar, perkara ini belum pernah berlaku. Pegawai kerajaan, polis dan askar amat setia kepada kerajaan.

Tapi kali ini secara terbuka mereka telah termakan kempen Hadi yang mempropagandakan Islam sedang digugat. Kerajaan Anwar Ibrahim kerajaan di luar tabii. Kerajaan campuran Pakatan-Barisan sedang ditunggang oleh DAP parti Komunis.

Jelas lagi terang, polis tidak tunjuk hormat dengan Menteri Dalam Negeri. Jelas lagi terang, askar tidak tunjuk hormat kepada Menteri Pertahanan.

Jelas lagi terang, pegawai kerajaan tidak ambil pot tentang habuan yang ditabur oleh Anwar Ibrahim.

Apakah betul kerajaan Anwar di luar tabii? Apakah betul Islam sedang diancam? Apakah benar Islam tergugat oleh DAP? Tunggu minggu hadapan. Amin. – 15 September, 2023.

* Hishamuddin Rais ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen