32 siswa kes bunuh UPNM digantung pengajian, kata Hishammuddin


Muzliza Mustafa

32 suspek dalam kes bunuh kadet laut UPNM akan digantung, kata menteri pertahanan hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Jun, 2017.

32 pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang ditahan susulan kematian pegawai kadet laut Zulfarhan Osman Zulkarnain 1 Jun lepas, digantung pengajian sementara menunggu siasatan kes pembunuhan itu selesai, kata Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein hari ini.

Dia menambah yang semua kadet itu akan disingkirkan dari Akademi Latihan Ketenteraan sekiranya mereka didapati bersalah menyembunyikan penyeksaan Zulfarhan daripada pengetahuan pegawai atasan mereka.

“Saya sangat kecewa dengan tragedi yang menimpa Zulfarhan. Kejadian seperti itu tidak sepatutnya berlaku, apatah lagi di bulan Ramadan. Mereka yang terlibat nampaknya dah hilang kemanusian dan iman kerana melakukan tindakan kejam itu,” katanya.

Dia berkata demikian selepas melawat ibubapa Zulfarhan di rumah mereka di Johor petang ini.

Zulfarhan didera sehingga mati selepas dituduh mencuri komputer riba.

Dia disiksa dengan penyangkut pakaian, seterika wap dan tali pinggang selama seminggu sebelum menemui ajalnya.

Dia meninggal disebabkan melecur tahap dua dan tiga yang meliputi 80 peratus badannya.

Hishamuddin berkata, pelajar terlibat ialah pelajar universiti tentera dan sepatutnya bersikap bertanggungjawab, jujur dan telus.

“Kegagalan mereka menjunjung nilai ini tidak boleh diterima,” katanya.

Dia turut menambah yang mana-mana pegawai atau kakitangan akademi itu yang menyedari kejadian siksaan itu dan tidak bertindak akan dikenakan tindakan.

Tentera Diraja Malaysia juga sudah diarahkan untuk melakukan penilaian kepada sistem latihan dan pengurusan Akademi Latihan Ketenteraan itu.

Zulfarhan, anak sulung daripada empat beradik itu ialah pelajar tahun dua Kejuruteraan Elektrik.

Tiga puluh enam orang ditahan susulan kematiannya. Tiga puluh dua orang adalah pelajar UPNM dan empat lagi adalah orang luar.

Mereka ditahan reman seminggu yang akan berakhir esok. – 8 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen