PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sedang menggerakkan bantuan berikutan ribut dahsyat melanda Libya hingga mengorbankan ribuan orang, lapor agensi berita Jerman (dpa).
PBB sedang bekerjasama dengan rakan kongsi tempatan, kebangsaan dan antarabangsa untuk mendapatkan bantuan kemanusiaan kepada mangsa yang berada di kawasan terjejas, kata jurucakap Setiausaha Agung PBB António Guterres, Stéphane Dujarric, pada Selasa.
Dujarric berkata pasukan PBB berada di lapangan dan mereka sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi menilai keperluan dan menyokong usaha bantuan yang berterusan.
Setakat ini, kira-kira 10,000 orang dilaporkan hilang, menurut Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah.
“Fikiran kami bersama ribuan orang yang terjejas. Kami bersolidariti dengan rakyat di Libya pada masa yang sukar ini,” kata Dujarric di New York.
Kerajaan yang diiktiraf PBB di Tripoli berjanji memberi bantuan berjuta-juta dolar untuk kawasan yang terjejas. – Bernama, 13 September, 2023.
Komen