KERAJAAN persekutuan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim harus mempertimbangkan untuk pengasingan peranan dan kuasa antara peguam negara (AG) dan pendakwa raya (PP) dalam tempoh setahun akan datang, kata Lim Guan Eng.
Ahli Parlimen Bagan itu berkata ia akan menanam keyakinan rakyat terhadap kerajaan perpaduan.
“Hanya dengan langkah ini, kita percaya (kerajaan) dapat meyakinkan rakyat semangat reformasi yang ada dalam kerajaan perpaduan ini masih membara-bara, lagi dan bukan seperti yang dilaungkan oleh pihak tertentu,” kata pengerusi kebangsaan DAP itu.
“Sungguhpun dua jawatankuasa khusus telah ditubuhkan untuk tujuan ini, tempoh setahun akan menyakinkan orang ramai yang niat dan semangat reformasi masih membara lagi,” tambahnya.
Gesaan Lim dibuat berikutan keputusan menggugurkan 47 pertuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.
Minggu lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah membenarkan Zahid dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) dalam perbicaraan rasuahnya.
Sequerah membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan pihak pendakwaan.
Semalam, Putrajaya mengumumkan penubuhan dua pasukan petugas khas untuk memulakan reformasi institusi bagi memisahkan peranan AG sebagai penasihat undang-undang kerajaan dan pendakwa raya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institut) Azalina Othman Said berkata kedua-dua pasukan petugas itu — kajian perbandingan dan teknikal — berusaha untuk mempercepatkan proses pembaharuan berhubung kebimbangan yang berpanjangan mengenai kemungkinan konflik kepentingan dalam AG yang menjalankan kedua-dua fungsi itu. – 13 September, 2023.
Berita penuh di sini
Komen