Perancis haramkan jualan iPhone 12


Pemasaran iPhone 12 dihentikan di Perancis selepas ujian mendapati model itu menghasilkan tahap sinaran melebihi had. – Gambar EPA, 13 September, 2023.

PERANCIS pada Selasa mengarahkan Apple menarik balik penjualan iPhone 12 selepas ujian mendapati model itu menghasilkan tahap sinaran melebihi had, lapor Agensi Anadolu.

“Pemasaran iPhone 12 dihentikan di Perancis sehingga Apple menawarkan kemas kini untuk semua peranti yang terjejas,” kata Menteri Peralihan Digital dan Telekomunikasi Jean-Noel Barrot di X (dahulunya Twitter).

Barrot meminta Agensi Frekuensi Kebangsaan (ANFR), iaitu badan pemerhati radiasi Perancis untuk “menguatkuasakan peraturan itu demi memastikan larangan ini dihormati.”

Terdahulu, ANFR memaklumkan dalam satu kenyataan bahawa baru-baru ini ia menyemak Kadar Penyerapan Khusus (SAR) 141 telefon, termasuk iPhone 12.

SAR mengukur tenaga yang dikeluarkan oleh gelombang elektromagnet dan diserap oleh tubuh manusia.

“Kegagalan ini, Apple akan dikehendaki menarik balik mana-mana unit yang dijual,” menurut ANFR.

Di Eropah, apabila telefon dipegang di tangan atau dalam poket seluar, ia mesti mempunyai tahap sinaran 4 watt sekilogram, manakala ANFR mendedahkan yang jumlah sinaran dikeluarkan iPhone12 sekitar 5.74 W/kg. – Bernama, 13 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen