Muhyiddin selesai beri keterangan isu fatwa


Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin selesai memberi keterangan kepada pihak polis hari ini berhubung isu fatwa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 September, 2023.

BEKAS perdana menteri Muhyiddin Yassin selesai memberi keterangan kepada pihak polis, berhubung isu fatwa beliau yang mengharamkan mengundi calon Pakatan Harapan (PH) Suhaizan Kaiat, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai minggu lepas.

Keterangan pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, diambil di pejabatnya di bangunan Lembaga Pembangunan dan Pelaburan Malaysia  (MIDA) di Kuala Lumpur pagi tadi.

Terdahulu Muhyiddin dilihat memasuki bangunan berkenaan pada pukul 9.28 pagi dan meninggalkan bangunan berkenaan pada pukul 10.25 pagi.

Muhyiddin hanya tersenyum dan mengangkat tangan isyarat bagus, ketika ditanya pemberita yang berkumpul di bangunan berkenaan sejak pukul 9 pagi mengenai rakaman keterangan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Razarudin Husain ketika dihubungi mengesahkan rakaman kenyataan berkenaan telah selesai, dan kertas siasatan akan dilengkapkan dalam masa terdekat sebelum dihantar ke Pejabat Peguam Negara.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Pada 2 September lepas, Ahli Parlimen Pagoh itu semasa Ceramah Perdana di Dataran Utama Kempas di Johor Bahru, didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa “haram memberikan undi kepada Suhaizan.”

PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup  Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

Suhaizan menang dengan majoriti 18,641 undi, sekali gus membolehkan parti itu mempertahan kerusi PH itu dengan memperoleh 48,283 undi, bagi menewaskan dua pencabarnya iaitu Zulkifli Jaafar daripada Perikatan Nasional (PN) dan calon Bebas Samsudin Mohamad Fauzi yang masing-masing mendapat 29,642 undi serta 528 undi. – Bernama, 12 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen