Bersatu Kelantan kecewa, tak ramai wakil dilantik ahli majlis


Diyana Ibrahim

PEMIMPIN Bersatu Kelantan sedikit terkilan kerana tidak ramai wakilnya dilantik sebagai ahli majlis dan ketua kampung selepas menyumbang kemenangan dalam pilihan raya negeri (PRN).

Ketua Bahagian Bersatu Pasir Mas Che Johan Che Pa mengakui pengagihan jawatan mengundang sedikit kekecewaan kepada parti itu.

“Kita anggarkan hanya 10% sahaja yang diberikan kepada Bersatu untuk jawatan penghulu kampung dan majlis daerah.

“Sebagai contoh dalam satu majlis daerah hanya satu atau dua wakil daripada Bersatu dan hanya tiga sahaja wakil Bersatu bagi jawatan penghulu kampung,” katanya.

Sebanyak 22 jawatan lantikan ahli majlis ditetapkan bagi setiap 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kelantan.

Tambah Johan, biarpun PAS sememangnya dominan di negeri itu, parti itu sepatutnya menghargai semangat kebersamaan antara rakan komponen dalam Perikatan Nasional (PN).

“Kita faham PAS dominan tapi sebagai rakan gabungan pengagihan jawatan kena seimbang sebab rakyat terutama atas pagar ini akan menilai.

“Mereka akan pertikaikan keikhlasan gabungan ini. Situasi sama juga berlaku masa pengagihan kerusi PRN patutnya Bersatu dapat lapan kerusi tapi dikecilkan enam kerusi, “ katanya.

Oleh itu, beliau berkata Bersatu memohon kerajaan negeri menambah kuota jawatan dalam Majlis Penghulu Kampung serta majlis daerah.

Pelantikan itu perlu dilaksanakan selepas gabungan PN mengekalkan kemenangan di Kelantan, Kedah dan juga Terengganu dalam PRN Ogos lalu.

PN sudahpun melantik setiap wakil dari parti komponennya di peringkat ahli mesyuarat kerajaan negeri (exco) di setiap negeri tersebut.

Bersatu mempunyai seorang wakil exco di Kelantan dan Terengganu. Di Kedah pula, tiga wakil Bersatu dan seorang wakil Gerakan dilantik menjadi exco negeri.

Di Kedah, pengagihan jawatan itu juga masih berjalan secara berperingkat dan pemimpin PN yakin ia akan dapat dilengkapkan dalam masa terdekat ini.

Pengarah Pilihan Raya PAS Kedah Mohd Hilmi Abd Wahab berkata proses rundingan jawatan dalam PBT dengan Bersatu dan Gerakan hampir selesai.

“Untuk jawatan ini ikut daerah atau bahagian parti masing-masing yang akan bagi nama.

“Kalau untuk Bersatu kita sudah beri kelonggaran untuk bahagian mereka buat perbincangan. Jadi mereka akan beri nama yang akan isi jawatan itu

“Tapi buat masa ini kita belum dapat senarai lengkap. Saya yakin akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau yang juga setiausaha politik, menteri besar Kedah itu berkata 18 jawatan disediakan bagi jawatan ahli majlis untuk setiap 12 PBT di negeri itu yang kini diagihkan di antara parti.

Ditanya mengenai agihan jawatan dalam Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JKPP), Hilmi berkata rundingan itu juga akan dimulakan pada bulan ini.

Di Terengganu, ketua Bersatu negeri Razali Ibrahim pula berkata pihaknya bersetuju agar tiga wakil parti dilantik dalam setiap JKPP.

“Bersatu dah setuju untuk masukkan tiga orang wakil dari Bersatu. Jadi nanti terpulanglah sama ada nak lantik jadi ahli AJK, pengerusi atau timbalan, katanya.

Beliau berkata sebanyak 15 senarai jawatan yang diperuntukkan dalam setiap JKPP untuk sejumlah 1,050 kampung di Terengganu.

Katanya proses itu sudah bermula dan senarai nama yang lengkap akan dihantar kepada pejabat daerah, kata Razali.

Razali yang juga exco Terengganu itu berkata kerajaan negeri bagaimanapun masih belum memulakan langkah pelantikan jawatan ahli majlis.

“Ini kerana bagi ahli majlis kontrak sedia ada masih ada, jadi kita akan tunggu sampai tamat kontrak baru akan buat pelantikan baru,” katanya. – 12 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen