Trend keluar undi negatif, ROI tidak berbaloi


G Manimaran

Suruhanjaya Pilihan Raya perlu melihat dengan mendalam untuk memperbaiki trend keluar mengundi yang terus merosot. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 September, 2023.

PARLIMEN kembali bersidang hari ini. Sidang yang keempat selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang berlangsung penghujung tahun lalu. Sabtu lalu berlangsung dua lagi pilihan raya kecil (PRK) selepas pasca-PRU15. Beberapa kesudahan yang diramalkan telah menjadi kenyataan.

Pun begitu trend peratusan keluar mengundi terus menjadi tanda tanya dan mencetuskan kebimbangan di sebalik pendaftaran pemilih secara automatik. Jumlah pengundi dalam daftar pemilih meningkat dengan ketara, tetapi peratusan keluar mengundi menunjukkan situasi yang sebaliknya.

Kerusi Parlimen Pulai merekodkan kadar yang lebih rendah berbanding peratusan yang dicatatkan pada 19 November lalu, iaitu ketika PRU15 dilangsungkan. Jumlah yang keluar mengundi pada Sabtu lalu hanyalah 47.33% berbanding 71% November lalu. Semasa PRU14 kadar itu 82.9%.

Pulai mempunyai lebih 166,000 pengundi, yang boleh dikategorikan sebagai antara kawasan yang paling ramai pengundi di Johor. Kerusi Pulai terletak dalam kawasan bandar dengan pelbagai kemudahan khususnya pengangkutan. Hampir kesemua rumah mempunyai kereta, yang digunakan untuk menyempurnakan urusan seharian. Pulai tidak jauh dari Johor Bahru (juga satu lagi kerusi Parlimen), dan mempunyai rangkaian lebuh raya yang menghubungkan Singapura sebagaimana Tambak Johor. 

Peratusan keluar mengundi bagi kerusi Pulai, yang mempunyai dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Perling dan Kempas, menurun sebanyak 23.67%. Satu penurunan dalam jumlah yang besar. Penurunan yang cukup membimbangkan. 

Semasa pilihan raya negeri (PRN) mengejut yang dipanggil pada Mac 2022, kedua-dua kerusi DUN itu masing-masing menerima kehadiran pengundi 49% dan 44%. Secara purata bilangan mereka yang keluar untuk menunaikan hak dan tanggungjawab mereka tidak jauh berbeza – hanya sekitar 45% hingga 50%. PRN Johor yang ke-15, yang diadakan satu setengah tahun yang lalu, yang diadakan di sebalik persekitaran pandemik Covid-19, secara keseluruhan hanya mencatatkan 54.92%. 

Dalam pada itu, kerusi DUN Simpang Jeram, salah satu daripada tiga kerusi DUN dalam bahagian Parlimen Bakri, menyaksikan sedikit peningkatan dalam jumlah pengundi yang keluar mengundi. Paras semasa mengalami peningkatan hampir tujuh peratus berbanding pada Mac 2022. Jumlah 60.85% masih rendah meskipun kadar semasa mengalami sedikit peningkatan.

Secara perbandingan peratusan keluar mengundi di kedua-dua kerusi tersebut tinggi berbanding jumlah yang direkodkan ketika PRK bagi kerusi DUN Balakong dan Seri Setia (di Selangor) lima tahun lalu, yang diadakan sejurus selepas PRU14. 

Kedua-dua kerusi tersebut ketika itu hanya merekodkan 43% dan 44%. Kerusi DUN Penanti di kawasan Parlimen Permatang Pauh di Pulau Pinang, semasa PRK tahun 2009, merekodkan 46%. Juga diadakan dalam tempoh singkat – 12 bulan selepas PRU 2008.

Kebelakangan trend keluar mengundi yang terus mengalami kemerosotan pernah dan telah mendapat perhatian pelbagai pihak, tetapi tiada tindakan konkrit yang diambil untuk membetulkan keadaan. Tiada usaha untuk mengembalikan sambutan yang lebih baik untuk keluar mengundi. 

Sudah sampai masanya perkara ini perlu dilihat dengan serius untuk menyegarkan semula amalan demokrasi, iaitu memastikan rakyat mengambil bahagian secara aktif dalam pilihan raya, daripada sudut keluar mengundi dan memilih wakil rakyat pilihan masing-masing dengan baik. 

Pada masa yang sama tidak membazirkan setiap undi dengan memastikan tiada undi yang rosak, dan tiada undi yang tidak dikembalikan.

Situasi yang sama menjadi perhatian ketika enam PRN yang diadakan 12 Ogos lalu. Terengganu mencatatkan peratusan keluar mengundi 74.79% manakala Kedah pula 73.86%, Pulau Pinang (72.67%), Selangor (72%), Negeri Sembilan (68.35%) manakala Kelantan hanya 60.96%. 

PRK kerusi Parlimen Kuala Terengganu mencatatkan peratusan pengundian sebanyak 73.34%s. Peratusan keluar mengundi ketika PRN mengejut di Sabah pada September 2020, Melaka, Sarawak dan Johor adalah lebih rendah, di bawah 66%.

Kesemua angka ini menunjukkan kadar yang lebih rendah berbanding ketika PRU14 lima tahun. PRU14 merekodkan 83%.

Dua PRU iaitu tahun 1995 dan 1999 juga pernah merekodkan kehadiran pengundi di bawah 70%. Kedua-dua PRU itu masing-masing merekodkan 68.3% dan 69.3%. Ketika itu negara menyaksikan krisis politik dan impaknya ke atas minat dan kepercayaan rakyat untuk mengambil bahagian secara aktif dalam proses pilihan raya. Politiking keterlaluan telah menjejaskan kemahuan rakyat untuk mempercayai aktor-aktor politik. PRU yang lain merekodkan peratusan keluar mengundi antara 73% dan 84.4%.

Setiap pemegang taruh terutama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu melihat dengan mendalam untuk memperbaiki keadaan semasa yang menyaksikan minat untuk orang ramai untuk mengaktifkan komponen semangat demokrasi ini, iaitu keluar mengundi. SPR merujuk kepada persekitaran hujan dan mendung sebagai antara punca ramai tidak keluar mengundi. Kita pernah melihat jumlah yang ramai keluar mengundi ketika hujan. Pengundi tidak risau akan kesan hujan dan musim tengkujuh.

Jadi ada sebab mengapa ramai tidak mahu keluar mengundi. Satu pertiga memutuskan untuk menjauhkan diri daripada menunaikan tanggungjawab. Bagi mereka pilihan raya sudah tidak penting lagi. Mereka menganggap ia urusan membuang masa. 

Ini perkara serius. 

Masa untuk kita sama-sama melihat secara kolektif demi kepentingan jangka panjang negara dan rakyat. Jangan sampai pada satu hari nanti hanya separuh sahaja atau bawah 50% yang keluar mengundi.

Sudah tentu akan ada saranan untuk mewajibkan keperluan untuk keluar mengundi. Saya tidak yakin keperluan mandatori akan menyelesaikan masalah yang serius ini. Meskipun sistem pendaftaran automatik membolehkan setiap orang yang layak untuk memiliki status sebagai pemilih, tetapi berjuta-juta pengundi memutuskan untuk tidak menghargai pilihan raya. Ada perkara yang lebih penting yang menjadi keutamaan mereka. 

Pada masa yang sama pengundi sudah letih dengan tindak-tanduk ahli politik dan wakil rakyat mereka. Di dalam dan di luar dewan perundangan. Inilah hakikat. Inilah realiti.

Pengundi berpendirian tidak guna lagi untuk keluar mengundi dan memilih wakil rakyat. Mereka menganggap undi mereka sudah tidak bernilai dan tidak berharga serta tidak dihargai. Mereka menganggap mandat yang mereka berikan tidak membawa hasil yang membina untuk mereka.

Masa untuk membuat bedah siasat secara kolektif untuk membetulkan keadaan dengan segera. Kita berada dalam persekitaran akan ada pilihan raya, tidak kira statusnya, sepanjang masa dan setiap tahun.

Kalau perlu rombak balik peranan SPR, lakukan segera. Kalau perlu betulkan sistem dan tatacara mengendalikan pilihan raya, berikan keutamaan. Pada masa yang sama parti-parti politik perlu melihat semula tindak-tanduk mereka yang telah mengecewakan pengundi dan rakyat. Segera menunjukkan teladan yang baik, dan perlu pandai menghargai mandat yang diberikan menerusi peti undi.

Pendekatan berpolitik kian berubah. Pengundi mahukan pendekatan yang berlainan.

Hasil pilihan raya perlu “berbaloi” dengan jumlah wang rakyat yang dibelanjakan. “ROI” perlu ada impaknya. – 11 September, 2023.

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen