PRESIDEN Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mencabar ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan mengosongkan kerusi masing-masing selepas gagal menepati janji pilihan raya untuk memerangi rasuah.
Ia susulan desakan agar beliau mengosongkan kerusi selepas mengugut untuk menarik balik sokongan terhadap kerajaan sebelum ini di mana akhirnya beliau melakukannya, hari ini.
“Jika saya perlu kosongkan kerusi kerana ingin lawan rasuah, saya cadangkan belilah cermin bagi ahli-ahli Parlimen atau menteri yang katakan perkara tersebut…kalian perlu kosongkan kerusi juga.
“Sejak bila kamu dipilih untuk gugur kes perasuah? Walhal kamu lawan dan kamu janji kepada rakyat perkara tersebut. Adakah kamu bersedia untuk kosongkan kerusi juga?,” katanya pada siaran langsung di akaun media sosialnya, malam ini.
Terdahulu, Muda menarik balik sokongan terhadap kerajaan perpaduan berkuat kuasa serta merta susulan keputusan pendakwaan minggu lalu memohon menghentikan prosiding terhadap bagi 47 pertuduhan kes rasuah dihadapi Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam pada itu, Syed Saddiq mengesahkan Muda akan bertindak sebagai pembangkang kuasa ketiga.
Respons Syed Saddiq itu susulan desakan daripada beberapa pemimpin PH yang mahu beliau mengosongkan kerusi Parlimen Muar.
Awal hari ini, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke mengingatkan kemenangan Syed Saddiq di Parlimen Muar dengan bantuan PH pada pilihan raya umum lalu.
Katanya, apa yang dijanjikan sebelum pilihan raya dan realiti selepas pilihan raya adalah sesuatu yang berbeza.
“Sebelum pilihan raya kita kata kita tidak akan gugurkan kes rasuah, lawan perasuah, bawa reformasi. Selepas pilihan raya, apa yang dijanjikan sebelum dan selepas itu berbeza bagaikan langit dan bumi
“Sebelum ini kata nak penjarakan perasuah, sekarang gugurkan kes rasuah. Dulu mereka nak bawa reformasi tapi sekarang reformasi dibatu nisankan,” kata bekas menteri belia dan sukan itu.
Kata Syed Saddiq, Muda bekerjasama dengan PH untuk PRU15 lalu di bawah platform yang sama antaranya memerangi rasuah.
Tegasnya, pendirian itu masih sama dan mendakwa ia sudah berubah dalam gabungan PH itu.
“Saya masih kekal konsisten hingga hari ini, siapa yang tidak? Siapa yang khianati rakyat? Bukan saya tapi mereka yang gugurkan kes rasuah,” katanya.
Langkah Syed Saddiq ini akan mengakibatkan blok kerajaan kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen.
Kerajaan perpaduan memperoleh majoriti dua pertiga semalam, berikutan kemenangan Suhaizan Kaiat di Pulai semalam. – 10 September, 2023.
Komen