AHLI Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menarik balik sokongannya terhadap kerajaan perpaduan berkuat kuasa hari ini, kata sumber yang rapat.
Bekas menteri itu dikatakan menulis surat kepada Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul dan meminta agar tidak duduk bersama penyokong kerajaan mulai Isnin ini apabila Dewan Rakyat bermesyuarat bagi sidang khas berkait Rancangan Malaysia ke-12.
Sumber itu mendedahkan surat kepada pegawai Johari Abdul dihantar awal
“Muda, secara asasnya Syed Saddiq, sudah menarik balik sokongannya kepada kerajaan perpaduan.
“Tetapi perlu ditegaskan walau sudah tidak duduk di bangku kerajaan tidak bermakna kita menyertai atau menyokong Perikatan Nasional. Ini mesti kena jelas.
“Selain itu, walaupun pihak kerajaan akan kurang seorang ahli Parlimen untuk memberikan majoriti dua pertiga, Muda akan menyokong sebarang agenda progresif yang dibawa oleh kerajaan perpaduan.
“Ini termasuk reformasi institusi, meminda Perlembagaan untuk ibu tunggal dan agenda progresif lain,” kata sumber itu.
Gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan dalam pilihan raya Parlimen pertama mereka di Pulai, Johor, malam tadi.
PH mengekalkan kerusi yang dimenanginya pada pilihan raya umum selepas Suhaizan Kaiat memperoleh 48,283 undi dalam pertembungan tiga penjuru.
Dengan kemenangan itu, blok kerajaan perpaduan mendapat sokongan 148 ahli Parlimen tetapi dengan Syed Saddiq menarik balik sokongan, kerajaan hari ini bakal memiliki 147 sokongan sekali gus menafikan majoriti dua pertiga.
Menurut sumber itu, sidang akhbar dijangka diadakan pada sebelah petang untuk mengumumkan keputusan itu.
Minggu lalu, Syed Saddiq mengugut untuk menarik balik sokongan terhadap kerajaan perpaduan.
Syed Saddiq berkata, Muda tidak teragak-agak untuk menilai semula kedudukannya dalam kerajaan perpaduan sekiranya Jabatan Peguam Negara gagal menjelaskan keputusan menarik balik 47 pertuduhan rasuah terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.
Awal hari ini, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke mengingatkan Syed Saddiq kemenangannya di Muar alah hasil bantuan PH pada pilihan raya umum lalu.
“Saya perlu ingatkan Syed Saddiq dia menang atas persefahaman dengan PH.
“Dia tidak memenangi Muar atas meritnya sendiri. Dia menang kerana ada persefahaman pilihan raya dengan PH,” kata Menteri Pengangkutan itu kepada pemberita hari ini. – 10 September, 2023.
Komen