POLIS masih belum menerima sebarang laporan berhubung dakwaan insiden dua pengamal media di Johor yang dikasari pegawai pengiring seorang menteri pada Selasa lalu.
Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay berkata ketika ini, kenyataan mengenai insiden itu hanya dikeluarkan oleh sebelah pihak dan beliau sendiri belum mendapat laporan penuh berhubung perkara itu.
“Bagi masa sikit sebab setakat ini kenyataan dikeluarkan oleh media sendiri, saya pun belum dapat laporan penuh daripada polis berhubung perkara ini.
“Biasalah dalam keghairahan media mendapatkan komen, mungkin timbul tolak-menolak tapi tunggulah siasatan penuh dijalankan, biasalah masing-masing menjalankan tugas,” katanya selepas meninjau pusat pengundian di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Pei Chai di Muar, Johor hari ini.
Beliau juga berkata setakat ini, proses pengundian bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Pulai serta Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram berjalan lancar dan tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.
Semalam media melaporkan dua wartawan wanita mendakwa menjadi mangsa kekasaran beberapa pegawai pengiring seorang menteri ketika membuat liputan program kempen PRK di Taman Anggerik dan Taman Dahlia di Johor Bahru pada Selasa.
Pegawai pengiring itu didakwa menghalang mereka ketika sidang media diadakan termasuk menyentuh tangan seorang wartawan wanita yang sedang membuat rakaman. – Bernama, 9 September, 2023.
Komen