Polis buka 2 kertas siasatan terhadap Muhyiddin 


Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur 3R ketika kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 September, 2023.

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) membuka dua kertas siasatan terhadap Muhyiddin Yassin yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur 3R (agama, bangsa dan raja) ketika kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram. 

Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay berkata polis akan memanggil Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu pada 12 September ini untuk diambil keterangan berhubung siasatan tersebut.

“Ada dua IP (kertas siasatan) dibuka terhadap Muhyiddin susulan kenyataan beliau (berhubung) ‘fatwa’ dan kenyataan berkenaan orang Melayu akan hilang kuasa.

“Jadi ada dua IP dibuka dan kita akan panggil beliau pada 12 Sept untuk ambil keterangan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses mengundi bagi Parlimen Pulai di pusat pengundian Maktab Sultan Abu Bakar, di Johor Bahru, hari ini. 

Ayob Khan berkata buat masa ini, tiada kertas siasatan baharu dibuka melibatkan pemimpin parti politik lain berhubung isu 3R.

Pada Sabtu lepas, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu itu, didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa ‘haram memberikan undi kepada Suhaizan’ ketika berucap dalam Ceramah Perdana di Dataran Utama Kempas, di sini, ketika kempen PRK Parlimen Pulai.

Ahli Parlimen Pagoh itu juga dilaporkan mengeluarkan kenyataan yang mendakwa parti orang Melayu dilihat sudah hilang kuasa, selain mendakwa kerajaan ketika ini seolah-olah tidak faham masalah orang Melayu.

Pada 4 Sept lalu, Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata polis membuka kertas siasatan terhadap Muhyiddin mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan ketakutan dan kegentaran awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Mengulas mengenai siasatan terhadap Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Ayob Khan berkata polis telah melengkapkan kertas siasatan dan telah dihantar ke Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk tindakan lanjut.

Timbalan Ketua Polis Negara itu turut mengingatkan dan menasihatkan pemimpin politik serta masyarakat supaya tidak mengeluarkan lagi kenyataan berkaitan 3R termasuk ketika berkempen bagi PRK Pelangai, Pahang, hujung bulan ini. 

“Polis sentiasa memantau semua sosial media, kalau ada kita akan buka kertas siasatan tapi nanti bila sudah disiasat, ditahan, didakwa dan dihukum, baru timbul rasa (meminta) simpati dan lain-lain,” katanya.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka selepas pemergian penyandangnya Allahyarham Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.– Bernama, 9 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen