Anwar tegaskan tak pernah dan tak akan masuk campur kes Zahid


Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersalam dengan para jemaah selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek di Seri Petaling. – Gambar Facebook, 8 September, 2023.

ANWAR Ibrahim menegaskan tidak pernah sekali pun campur tangan dalam badan kehakiman sepanjang menggalas jawatan perdana menteri.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Muda Syed Saddiq Abdul Rahman yang mengancam untuk menarik balik sokongan terhadap kerajaan perpaduan jika tiada penjelasan terperinci berhubung keputusan mahkamah yang melepas tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.

Anwar berkata beliau memahami keresahan pihak yang mempersoalkan keputusan mahkamah minggu lalu.

“Mengapa saya kata saya faham sedikit sebanyak keresahan ini? Kerana kita warisi sistem yang sedemikian. Bahawa orang politik rakus, zalim, menggunakan kuasa untuk mendera orang.

“Saya lalui proses itu. Sekarang saya perdana menteri, saya tidak sanggup gunakan kuasa begitu rupa,” katanya seperti dilapor media, selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek di Seri Petaling hari ini.

Tambah perdana menteri, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ketua hakim negara dan peguam negara bebas membuat sebarang keputusan sepanjang sembilan bulan beliau menerajui kerajaan perpaduan.

Anwar juga menyifatkan ancaman Muda untuk menarik balik sokongan terhadap kerajaan perpaduan sebagai tidak adil kerana kuasa membuat keputusan dalam kes rasuah Zahid adalah hak mutlak peguam negara.

“Yang siasat itu kerja SPRM dan polis, yang dakwa itu kerja peguam negara, dan yang putuskan, hakim.”

Rabu lalu, Syed Saddiq mengancam akan menarik sokongan terhadap kerajaan perpaduan sekiranya tiada penjelasan terperinci daripada Jabatan Peguam Negara berkait keputusan mahkamah terhadap kes rasuah Zahid.

Katanya, keputusan mahkamah melepaskan tanpa membebaskan Zahid daripada 47 pertuduhan melibatkan dana Yayasan Akalbudi merupakan perlanggaran terbesar terhadap garisan merah institusi kehakiman negara.

Susulan itu, Muda menuntut Jabatan Peguam Negara untuk memberi penjelasan di Parlimen mengenai keputusan tersebut, tambahnya.

Mengulas perkara itu, Anwar berkata peranan Parlimen tidak boleh ditukar sebagai mahkamah bagi membincangkan keputusan yang telah dibuat.

“Mana boleh kes mahkamah nak runding di Parlimen… Parlimen bukan mahkamah yang boleh dia tanya soalan dan kita cuba jawab sebab peguam negara bukan ahli Parlimen dan bukan menteri,” katanya. – 8 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen