Calon PM pembangkang diputuskan perlu dilakukan secara tertutup, kata Muhyiddin


Diyana Ibrahim

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia hari ini menafikan bahawa mereka tidak menyokong cadangan calon perdana menteri yang dinamakan gabungan parti lain dalam Pakatan Harapan.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata pendirian parti itu yang mahu calon perdana menteri PH dibincangkan secara tertutup dan tidak terlalu terbuka bagi mengelakkan salah faham.

“‘Meski ada pandangan parti lain, siapa dicalonkan untuk siapa, pandangan peribadi saya ia tidak harus dibincangkan secara terbuka .

“Kerana ia akan mencetuskan salah faham dan kekeliruan sebab akan ada pandangan orang ramai terhadap PH yang kata kita tak bersatu tentang siapa yang harus mengetuai PH untuk pilihan raya akan datang,” katanya pada sidang media Bersatu di Petaling Jaya.

Meski tidak menyatakan secara langsung siapa calon terbabit tetapi perkembangan kebelakangan ini jelas menunjukkan yang presiden Bersatu itu merujuk kepada calon pilihan PKR dan DAP, Anwar Ibrahim.

Muhyiddin berkata  terlalu banyak khabar angin mengenai PH yang kononnya gagal mengemukakan calon perdana menteri sekaligus turut mengundang persepsi negatif rakyat terhadap gabungan pembangkang itu.

“Jika keadaan berterusan dalam keadaan begini, rakyat akan kecewa kerana mereka nak mendukung perjuangan kita tapi mereka anggap kita belum bersepakat.

“Selagi belum capai kata sepakat, elok tak keluarkan pandangan sebegitu.”

Sebelum ini, timbul dakwaan bahawa PH mempunyai krisis kepimpinan kerana masih gagal mengemukakan calon perdana menteri gabungan parti itu.

Laporan The Malaysian Insight terdahulu memetik sumber yang mendakwa sesetengah pemimpin PH tidak bersetuju jika Anwar mengetuai pakatan pembangkang. 

Malah Bersatu dikatakan tidak teragak-agak untuk keluar daripada PH jika isu itu tidak dapat diselesaikan.– 8 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen