DAP kekal sokongan terhadap kerajaan perpaduan


Naib Pengerusi DAP Nga Kor Ming berkata partinya setia bukan sahaja kepada rakan tetapi juga perjuangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 September, 2023.

DAP tetap kekal teguh dan tidak akan menarik sokongan terhadap kerajaan perpaduan susulan keputusan mahkamah untuk melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi daripada semua 47 pertuduhan dihadapinya, kata naib pengerusi parti itu Nga Kor Ming.

Beliau yang juga menteri pembangunan kerajaan tempatan berkata DAP merupakan sebuah parti yang setia bukan sahaja kepada rakan tetapi juga perjuangan.

“… tidak akan sekali-kali menarik sokongan. DAP rakan setia kawan dan sentiasa setia kepada perjuangan. Anda tahu DAP… kita kotakan apa yang dijanjikan,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendirian DAP selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini memutuskan untuk melepas tanpa membebaskan Zahid yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) dan presiden Umno daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.

Sementara itu, Nga berkata Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sewajarnya bertemu dan berbincang dengan pucuk pimpinan kerajaan perpaduan sekiranya tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah berhubung Zahid.

“Beliau merupakan antara ahli Parlimen yang memberikan sokongan terhadap kerajaan, maka selain menerusi media, beliau perlu bincang dengan pucuk pimpinan kerajaan, itu lebih profesional,” katanya mengulas kenyataan Syed Saddiq yang dilaporkan akan menilai semula kedudukan Muda dalam menyokong kerajaan perpaduan susulan perkembangan kes mahkamah Zahid. – Bernama, 7 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen