Quo vadis, Muda?


Ruhan Shahrir

Kemudaan Muda sering membuatkan mereka mengambil tindakan terburu-buru. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 September, 2023.

MUDA kelihatannya sudah berpatah arang dengan kerajaan perpaduan. Berkerat rotan pula dengan Pakatan Harapan (PH). Kemudaan Muda sering membuatkan mereka mengambil tindakan terburu-buru. Belum duduk sudah berlunjur. 

Kesannya mudah dijangka. Hilang kepercayaan daripada PH. Lenyap keyakinan daripada kerajaan perpaduan terhadap mereka. Sesuatu yang tidak sukar untuk dijangkakan.

Ia bermula dengan tindakan Muda melanggar kerusi DUN Larkin pada PRN Johor, pada bulan Mac 2022. Larkin menyaksikan pertembungan antara calon Muda Rasid Abu Bakar dengan calon PKR Dr Zamil Najwah Arbain. 

Akhirnya keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di DUN tersebut tidak memihak kepada Muda, mahupun PH. Pertandingan enam penjuru di Larkin dimenangi calon Barisan Nasional (BN) Mohd Hairi Md Shah.

Susulan daripada itu, pola tingkah laku yang sama dizahirkan Muda menerusi PRN enam negeri yang baru lepas. 

Daripada 19 kerusi DUN yang mereka tandingi, hanya satu kerusi Muda meletakkan calonnya melawan calon BN dan PN, yakni di DUN Bandar, Terengganu. Selebihnya, sebanyak 18 kerusi lain ditandingi oleh mereka di kawasan-kawasan yang turut menempatkan calon-calon PH, baik PKR, DAP mahupun Amanah.

Tingkah laku politik Muda yang polanya sama dalam setiap pilihan raya lepas boleh memberikan tanggapan bahawa Muda sebuah parti yang tidak boleh dipercayai, baik oleh PH mahu pun kerajaan perpaduan. Hilang kepercayaan boleh membawa kepada terputusnya sebarang hubungan yang mereka jalin (sama ada rasmi atau tidak rasmi) dengan PH dan kerajaan perpaduan sebelum ini.

Namun, pola tingkah laku politik Muda itu tidak semuanya harus diletakkan di bahu mereka semata-mata. Tindakan Muda tidak hadir dalam hampawa. Setiap tindakan pastinya akan mengundang tindakan balas. 

Peminggiran Muda oleh PH dan kerajaan perpaduan pasca-Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mungkin disebabkan oleh tindakan Muda sendiri yang melanggar DUN Larkin sebelumnya. 

Manakala tindakan Muda meletakkan semua calon mereka kecuali satu, di kawasan-kawasan yang ditandingi oleh calon PH pada PRN enam negeri yang lepas, mungkin juga adalah kerana peminggiran yang dilakukan oleh PH dan kerajaan perpaduan terhadap mereka. Setiap aksi akan memunculkan reaksi. 

Reaksi terbaru Muda adalah apabila barisan kepimpinannya mendakwa kerajaan perpaduan menormalisasikan rasuah apabila Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, dilepaskan (tanpa dibebaskan) daripada 47 pertuduhan yang melibatkan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram. 

Malahan dalam kenyataan Muda tersebut mereka menyatakan akan menggerakkan kempen #DakwaZahid dengan mengemukakan tiga tuntutan iaitu:

  • Penjelasan peguam negara di Parlimen mengenai pemberhentian perbicaraan kes Zahid
  • Memisahkan kuasa eksekutif peguam negara dan pendakwa raya
  • Mendakwa semula Zahid dengan kadar yang segera

Pada hemat saya, tuntutan-tuntutan Muda itu wajar sahaja diajukan dalam bingkai demokrasi dan kebebasan bersuara yang mereka dan PH sendiri perjuangkan sebagai salah satu daripada agenda gerakan reformasi sejak 1998 lagi.

Namun yang memperparahkan hubungan antara Muda dengan kerajaan perpaduan yang dipimpin oleh PH ialah apabila adanya lontaran suara yang berunsur “ugutan” apabila mereka menyatakan, “sekiranya tuntutan-tuntutan ini tidak dipenuhi maka Muda tidak akan teragak-agak untuk membuat keputusan yang keras tentang kedudukan Muda dalam kerajaan perpaduan”. 

“Ugutan” untuk menarik sokongan kepada kerajaan perpaduan itu menimbulkan suatu pertanyaan paling mendasar – quo vadis Muda? 

Ke mana sebenarnya Muda mahu pergi? 

Daripada kenyataan-kenyataan tersebut, seolah-olah Muda mahu berada di blok pembangkang bersama-sama PN. Ini kerana kenyataan Muda tersebut tidak jauh bezanya dengan kenyataan Muhyiddin Yassin dan kepimpinan PN yang lainnya. 

Meskipun begitu, mungkin sahaja Muda mahu menjadi suara nurani terdalam sebahagian daripada masyarakat Malaysia yang tidak bersetuju dengan keputusan pihak pendakwa raya menghentikan pendakwaan terhadap Zahid dan keputusan yang dibuat oleh mahkamah tinggi negara untuk melepaskan beliau tanpa dibebaskan.

Dalam konteks ini mungkin Muda masih mahu menampilkan diri mereka sebagai kuasa ketiga di dalam persaingan politik pilihan raya di Semenanjung Malaysia khususnya yang didominasi oleh PH-BN dan PN. 

Namun, Muda sudah pun membuat pilihan tersebut pada PRN di enam negeri yang lepas. Natijahnya – hilang semua deposit! 

Bodoh dan bebal jika sekiranya jalan yang sudah pun terbukti gagal total, tetapi masih tetap mahu mengambil jalan tersebut. 

Sampai bila jalan yang sama, yang sudah terbukti gagal, masih mahu ditempuh oleh Muda? 

Bertempur secara solo di kawasan-kawasan yang turut ditandingi oleh PH pada PRN yang lepas, Muda hilang deposit. Bukan dua atau tiga tempat yang Muda hilang deposit bila mereka bertindak untuk bertanding solo. Tetapi kesemua tempat!

Bersama-sama PH sejak daripada PRU15, Muda dipinggirkan. Hatta di mesyuarat parti-parti yang membentuk kerajaan perpaduan pun Muda tidak diundang. Rundingan pembahagian kerusi pada PRN lepas pun Muda tidak dipanggil.

Justeru, sekali lagi pertanyaannya, quo vadis Muda? 

Hanya satu jalan yang belum dicuba. Bersama PN! 

Suatu jalan yang mungkin Muda sendiri tidak terbayangkan. Suatu jalan yang mungkin individu-individu yang membentuk kepimpinan tertinggi Muda merasa jengkel. 

Namun, Muda sebagai sebuah parti perlu memikirkan bahawa kepentingan parti melebihi sentimen individu. 

Setiap individu yang membentuk kepimpinan dan keanggotaan dalam Muda wajar saja mempunyai sentimen dan politik masing-masing. Tetapi persoalannya apakah, sentimen serta bias peribadi itu menguntungkan parti? 

Sejauh ini bersama PH, dipinggirkan. Bergerak solo, bungkus total! 

Persaingan politik pilihan raya di dalam bingkai demokrasi liberal memakan kos yang sangat tinggi. Sebuah parti kecil yang bergerak solo tanpa sokongan dana yang banyak, tanpa jentera yang berpengalaman, tanpa akar umbi yang mendukung, tanpa jaringan masyarakat yang luas, tanpa propaganda yang tersusun dan tanpa adanya kerjasama politik dengan parti-parti lain yang strategik, bukan hanya takkan mampu meraih kuasa, malahan menang kerusi pun tak mungkin. 

Buktinya sudah ada di depan mata – Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM). Ada tak menambah, tiada tak mengurang.

Politik itu pragmatik. Politik juga perlu strategik. Kepentingan strategik parti melebihi bias atau sentimen individu. Bersama PN masih belum dicuba tetapi strategik. Gelombang yang dibawa oleh PN tak akan surut. Malahan pada hemat saya, ia akan semakin membesar menuju ke PRU16. 

Muda bersama PN, mungkin sesuatu yang sukar untuk dihadam oleh ramai penyokong, pendukung, anggota dan kepimpinan Muda sendiri. Namun ia paling strategik untuk Muda. Tiada lagi peminggiran yang ketara. Perebutan kerusi dapat dikurangkan. Masalah dana, jentera, akar umbi dan jaringan masyarakat yang merupakan kekurangan Muda dapat diatasi.

Yang lebih penting adalah gelombang Melayu yang akan semakin merebak luas, khususnya apabila dijangkakan sebanyak lebih kurang 4-5 juta pengundi baru yang sebahagian besarnya adalah anak-anak muda Melayu dari kelas bawahan/pertengahan akan mengundi pada PRU16 nanti. 

Pada ketika itu, Muda bersama PN adalah benteng terpenting untuk memastikan gelombang yang datang tidak menerjang tiang-tiang yang sudah terpasang. 

Saya percaya, kehadiran Muda jika dimanfaatkan secara strategik bisa membawa gelombang kanan tersebut sedikit ke tengah supaya Malaysia yang lebih terangkum (inklusif) tidak sepenuhnya punah. – 7 September, 2023.

* Ruhan adalah seorang hippie yang berjiwa bebas, menggemari filem-filem berat Eropah dan menyukai ikan pekasam goreng garing.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen