PM tiada kaitan keputusan AGC lepaskan Zahid, kata Saifuddin


Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata kuasa dan tindakan AGC dalam kes babitkan Ahmad Zahid Hamidi berlandaskan Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 September, 2023.

TINDAKAN Jabatan Peguam Negara (AGC) yang tidak meneruskan pendakwaan terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, tiada kaitan dengan kuasa eksekutif Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata kuasa dan tindakan peguam negara itu berlandaskan Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

“Untuk mendakwa atau tidak, untuk teruskan atau tarik balik (pendakwaan), itu kuasa yang ada dalam Perlembagaan (Persekutuan)... sebab itu saya menolak dan menangkis tuduhan dan andaian bahawa apa yang dibuat oleh peguam negara, semuanya di bahu (arahan) perdana menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ceramah kelompok Pakatan Harapan di Taman Anggerik, Kempas di Johor Bahru, malam ini.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan tanpa membebaskan Zahid daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Hakim Collin Lawrence Sequerah, melepas tanpa membebaskan Zahid, 70, selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar, yang memaklumkan AGC ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Zahid.

Sementara itu mengulas gesaan Ahli Parlimen Subang Wong Chen untuk melakukan reformasi institusi terhadap pemisahan kuasa peguam negara dan pendakwa raya, Saifuddin Nasution yang juga setiausaha agung PKR berkata sistem yang diguna pakai ketika ini, diwarisi daripada kerajaan sejak dahulu.

Beliau berkata pelantikan penguam negara adalah atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, berdasarkan usul ketua eksekutif.

“Ini bukan pertama kali (pelantikan peguam negara atas usul ketua eksekutif), kita warisi sistem yang sudah berjalan, kalau ada apa-apa usul untuk ubah keadaan (sistem) sekarang…kita akan tengok (teliti),” katanya.

Sementara itu, ketika berucap dalam ceramahnya, Saifuddin Nasution berkata tindakan pihak pembangkang menyalahkan perdana menteri berhubung kes Zahid, mencerminkan pendirian pembangkang yang tidak konsisten.

Beliau berkata ini kerana, apabila kes mahkamah melibatkan pemimpin pembangkang dan mereka dibebaskan tidak timbul masalah, tetapi apabila melibatkan kes pemimpin kerajaan mereka mula memainkan sentimen salah kuasa perdana menteri.

“Beberapa minggu lepas penguam kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, iaitu Datuk Hisyam Teh Poh Teik berhujah dan Muhyiddin dibebaskan….kini, Hisyam juga peguam kepada Zahid dan dibebaskan juga… tapi yang salah Anwar.

“Lihat tak kosistennya mereka (pembangkang), bila yang lepas itu orang kita (dalam kalangan pembangkang) itu ok…tapi bila lepas itu musuh (kerajaan) kita (pembangkang) Anwar yang salah, seolah-olah Anwar yang ketua eksekutif ini semua di bawah telunjuk dia,” katanya.

Dalam perkembangan lain, mengulas kenyataan Muda yang mengancam untuk menarik sokongan terhadap kerajaan perpaduan susulan keputusan kes itu, ketua setiausaha Pakatan Harapan itu berkata Muda berhak membuat pertimbangan sendiri.

“Sebagai sebuah parti politik, Muda tahu baik buruk sesuatu tindakan yang mereka buat, saya tiada sebarang komen, kerana mereka berhak buat pertimbangan mereka,” katanya.

Hari ini, Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata parti itu tidak akan teragak-agak untuk menilai semula kedudukannya dalam menyokong kerajaan perpaduan, jika tiga tuntutan parti itu terhadap perkembangan kes membabitkan Zahid, tidak diambil tindakan susulan oleh kerajaan. – Bernama, 5 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen