Muhyiddin persoal jika ada 'pihak atasan' arah bebaskan Zahid


Noel Achariam

Muhyiddin Yassin berkata tindakan peguam negara menggunakan kuasanya menarik balik 47 pertuduhan jenayah rasuah dan pengubahan wang haram terhadap Ahmad Zahid Hamidi selepas dipanggil membela diri di mahkamah adalah tidak bermoral. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 September, 2023.

BEKAS perdana menteri Muhyiddin Yassin hari ini mempersoalkan sama ada pihak pendakwaan menerima arahan daripada “pihak atasan” untuk membebaskan Ahmad Zahid Hamidi daripada kes rasuahnya.

Muhyiddin berkata jika benar ada arahan sedemikian, maka menggugurkan pertuduhan terhadap Zahid, selepas beliau diarah membela diri, adalah titik hitam dalam sistem keadilan negara.

“Yang peliknya pihak pendakwaan yang telah berjaya membuktikan kes prima facie memohon kepada mahkamah untuk menggugurkan pertuduhan. Ini amatlah tidak munasabah.

“Adakah ini bermakna pihak pendakwaan mengakui bahawa bukti-bukti yang dikemukakan oleh mereka di mahkamah tidak boleh dipakai? 

“Hal ini tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia yang merdeka sebelum ini,” kata Muhyiddin di Facebook.

Semalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan Zahid dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) dalam perbicaraan rasuahnya.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan pihak pendakwaan.

Beliau berkata keputusan itu dibuat bagi membenarkan siasatan lanjut oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tetapi menambah kes itu masih terbuka.

Muhyiddin berkata tindakan peguam negara menggunakan kuasanya mengikut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan untuk menarik balik 47 pertuduhan jenayah rasuah dan pengubahan wang haram terhadap Zahid selepas dipanggil membela diri di mahkamah adalah tidak bermoral.

“Dalam kes ini, Zahid telah didakwa di mahkamah dan pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie dengan mengemukakan keterangan berdokumen dan 99 orang saksi,” katanya.

“Ini bermakna mahkamah telah berpuas hati bahawa terdapat bukti-bukti yang berasas tentang perlakuan jenayah tersebut oleh Zahid dan mengarahkan beliau untuk membela diri.”

Muhyiddin berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim mesti bertanggungjawab sepenuhnya atas kerosakan sistem keadilan yang dipercayai berpunca daripada kerakusannya sendiri untuk mengekalkan kuasa.

“Ia membuktikan sikap munafik beliau yang nyata. Slogan reformasi institusi dan tatakelola yang sering beliau dilaungkan hanyalah suatu pembohongan dan omongan kosong sahaja.

“Keputusan menggugurkan pertuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri itu pastinya menggoncang keyakinan pelabur terhadap sistem keadilan di Malaysia.”

Muhyiddin berkata, sudah cukup teruk Zahid yang berdepan pertuduhan rasuah dilantik ke jawatan nombor dua tertinggi negara.

“Malah pertuduhan ke atasnya juga digugurkan. Malaysia telah menjadi ‘a rogue state’ atau negara penyangak,” katanya.

“Sudah tiba masanya rakyat menilai semula keabsahan kerajaan perpaduan ini yang sepatutnya mendokong kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan.” – 5 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen