MUDA akan memulakan kempen di seluruh negara untuk mendesak Jabatan Peguam Negara agar sekali lagi mendakwa Ahmad Zahid Hamidi atas pertuduhan rasuah.
Dalam satu kenyataan, Muda berkata ia menyeru semua rakyat Malaysia bersama-sama menolak penyalahgunaan kuasa dan rasuah supaya kejadian serupa tidak berulang.
“Muda menggesa Jabatan Peguam Negara untuk memberi penjelasan di Parlimen mengenai keputusan melepas tanpa dibebaskan timbalan perdana menteri, bila mana mahkamah telah putuskan terdapat ‘prima facie’.
“Kami juga menuntut supaya mengasingkan kuasa eksekutif Jabatan Peguam Negara dengan pendakwa raya dengan segera, untuk memastikan tiada campur tangan eksekutif dalam mana-mana kes mahkamah.
“Muda akan mengadakan kempen #DakwaZahid bagi menggesa pihak pendakwa raya untuk mendakwa semula Zahid dengan segera. Sekiranya tuntutan di atas tidak dipenuhi maka Muda tidak akan teragak-agak untuk membuat keputusan yang keras tentang kedudukan Muda dalam kerajaan perpaduan,” kata Muda.
Hakim Collin Lawrence Sequerah semalam membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk membenarkan Zahid dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) atas kesemua 47 pertuduhan penyalahgunaan kuasa, rasuah dan pengubahan wang haram berhubung dana Yayasan Akalbudi.
Pihak pendakwaan berkata ia mahu menghentikan prosiding supaya siasatan lebih mendalam dapat dilakukan terhadap kes itu.
Kes itu digugurkan selepas Zahid diminta membela diri.
Zahid, 70, didakwa dengan 47 pertuduhan pada akhir 2018, dengan seramai 114 saksi dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula pada 18 November 2019 dan berlangsung selama 77 hari.
Selepas 99 saksi pendakwaan memberi keterangan dalam perbicaraan, Mahkamah Tinggi pada 24 Januari 2022 memerintahkan Zahid membela diri atas kesemua 47 pertuduhan. Beliau adalah antara 15 saksi pembelaan yang memberi keterangan dalam kes itu. – 5 September, 2023.
Komen