SPR sasar 99% pemilih awal keluar mengundi PRK Pulai 


Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Abdul Ghani Salleh berkata proses pengundian awal yang bermula pada 8 pagi tadi, berjalan dengan lancar.– Gambar fail The Malaysian Insight, 5 September, 2023.

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menyasarkan sekurang-kurangnya 99% daripada 927 pemilih awal terdiri daripada pegawai dan anggota polis, akan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, hari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Ghani Salleh berkata proses pengundian awal di Balai Polis Kempas dan Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua yang dibuka serentak pada 8 pagi tadi, berjalan dengan lancar.

“Di Markas PPM Wilayah Dua ada dua saluran dan di Balai Polis Kempas pula ada satu saluran. Kita lihat dari segi trend pengundian, ia amat baik, dengan sejam pertama sudah 16% diikuti jam kedua sudah 34%.

“Kehadiran amat menggalakkan dan kami berharap kedua-dua tempat mengundi awal ini akan mencapai peratusan yang baik, sekurang-kurangnya 99% pengundi awal keluar mengundi,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Markas PPM Wilayah Dua, di Johor Bahru hari ini.

Daripada 927 pemilih, seramai 46 orang akan mengundi di pusat mengundi awal di Bilik Gerakan, Balai Polis Kempas, manakala 881 orang akan mengundi di Dewan Nusantara, Markas PPM Wilayah Dua.

Abdul Ghani turut menasihatkan pengundi bagi kerusi parlimen itu dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram supaya keluar menunaikan tanggungjawab lebih awal Sabtu ini selain tidak memberikan kad pengenalan diri kepada bukan petugas yang terlibat dalam pilihan raya tersebut.

“Keluarlah mengundi lebih awal atau mengikut waktu yang dicadangkan SPR. Mohon pengundi tidak memberi kad pengenalan diri kepada pihak atau individu yang tidak sepatutnya dan jagalah kad pengenalan masing-masing supaya tidak timbul masalah berkaitan. 

“Bagi pengundi yang berada di luar kawasan, pulanglah ke kampung dan tunaikanlah tanggungjawab masing-masing sebagai pengundi di kedua-kedua kawasan PRK ini,” katanya.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram dilaksanakan susulan kematian penyandangnya Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lepas.

Seramai 166,653 individu layak mengundi bagi kerusi Pulai dan seramai 40,379 pengundi bagi Simpang Jeram. – Bernama, 5 September, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen