Maqam zahid


Faisal Tehrani

Untuk ahli Umno, zahid adalah satu pengertian tersendiri.– Gambar fail The Malaysian Insight, 5 September, 2023.

SEKITAR abad ke-3 Hijrah, kehidupan beragama yang terpencil muncul di serambi Masjid Nabawi.

Era ini diberi nama era zuhud (atau asceticism) yang sering dirujuk sebagai kemunculan awal aliran sufisme dalam dunia Islam. Maka pada waktu ini lahirlah ramai zahid.

Ia sejajar dengan kelahiran figur atau individu penting yang tampak sehari-harian kerjanya hanyalah mengejar kehidupan akhirat, sehinggakan kehidupan seharian mereka itu lebih tertumpu kepada hal atau upacara ibadah dan terlihat mengabaikan khayal dan mabuk duniawi.

Kelompok yang tidak menggilai dunia inilah ditentukan sebagai zahid.

Akan tetapi lama kelamaan kata zahid itu berkembang menjadi tahapan atau tingkatan kerohanian.

Yakni, untuk seseorang itu menjalani cara hayat tasawuf, yang demikian dekat dengan Allah Taala maka seseorang itu perlu menjalani tangga-tangga spiritual yang dipanggil sebagai maqamat, atau makam.

Maqamat ini adalah kedudukan rohani. Secara bahasanya, ia membawa maksud berdiri, perhentian, lokasi, atau posisi.

Orang sufi melihat setiap maqam itu sebagai darjah mencapai kesempurnaan, lantaran kuatnya sebagai insan. Ada juga yang berpendapat maqam itu pemenuhan hak Allah, dan ini pandangan yang kuat daripada Al-Ansari.

Dalam erti kata lain, apabila seseorang itu sudah memenuhi hak-hak yang ada pada perhentian (manazil) itu, maka dia bolehlah naik ke aras yang lebih tinggi.

Tokoh sufi As-Sarraj menyatakan terdapat tujuh maqam, yaitu taubat, wara’, zuhud, faqir, sabar, tawakkal, dan redha.

Manakala Abu Talib Al-Makki pula mengatakan terdapat sembilan maqam, iaitu taubat, sabar, syukur, roja, khauf, zuhud, tawakkal, ridha, dan mahabbah.

Maqam-maqam ini adalah manifestasi dari duduk pengabdian seorang hamba di hadapan Allah, mujahadah atau kesungguhannya melawan hawa nafsu dan penyakit-penyakit hati selain menjadi model spiritual yang tiada calangnya.

Makanya kita tahu sekarang, dalam tasawuf ada maqam zuhud, atau zahid.

Maqam ini sering dikatkan dengan kategori mereka yang bersungguh membersihkan hati agar sering atau nyaris hampir dengan Allah.

Seseorang itu tidak cukup menjadi sufi jika tidak zahid. Mereka yang zahid sebetulnya tidak lagi hairan akan dunia, apatah lagi kuasa. Ini kerana kehidupan dunia itu dianggap semuanya sebagai tipu belaka.

Allah berfirman dalam ayat 20 surah al-Hadid (terjemahannya): “Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”

Rasulullah dalam sebuah hadis yang diperi Baihaqi ada menetapkan: “Apabila Allah mengkehendaki seorang hamba-Nya menjadi baik, maka diberinyalah pemahaman akan rahsia agama, ditimbulkannya rasa zuhud terhadap dunia dan diberinya anugerah dapat memandang yang ghaib dan ‘aib dirinya sendiri.”

Sebetulnya jika kita merenung dalil-dalil di atas akan terpancar betapa Islam tidak melarang aspek duniawi dan tidak melarang pula meninggalkannya, tetapi Allah dan Nabi Muhammad saw mengingatkan agar kita berhati-hati kepada pembohongan dunia khusus yang boleh membawa kita manusia ke dalam kesesatan.

Bahkan seorang zahid itu tidak patut memperdaya, dan kita pula tidak patut terpedaya oleh dunia.

Jadi, konsep zuhud atau zahid dalam Islam itu bukan bermakna menjauhi hal-hal duniawi, melainkan bagaimana kita mempunyai kebolehan atau keupayaan untuk tidak tertipu oleh dunia.

Akan tetapi hal di atas adalah renungan untuk ahli sufi.

Untuk ahli Umno, zahid adalah satu pengertian tersendiri.

Ia juga adalah satu maqam yang luar biasa.

Maqam pertama dalam Umno adalah Maqam Abdul Rahman Putra, di mana beliau boleh mengendalikan Majlis Tertinggi dari stesen atau kediamannya, untuk memilih calon pilihan raya, ketua-ketua negeri atau pimpinan tanpa sebarang tentangan.

Maqam Abdul Razak Hussein, naik sedarjat di mana struktur parti kini lebih intim dengan kerajaan apabila tertubuhnya biro-biro persis kementerian penuh dalam Umno untuk mengimplementasikan polisi menurut hasrat dan kehendak Umno.

Maqam yang unggul adalah maqam Dr Mahathir Mohamad, di mana maqam ini menempuh proses sentralisasi secara maksimum dan penggunaan aparat parti-negara untuk meletakkan setiawan di stesen-stesen berguna selain memanipulasi prosedur untuk mengawal dan mewaspadai penentang, termasuklah apa yang disebut James Chai dalam artikelnya “From the Fringes of Defeat: How Umno President Zahid Hamidi Transformed His Vulnerability into Invincibility” sebagai “circumventing (channelling government resources to loyalists), thus ensuring Umno’s dominance against all odds”.

Keunggulan maqam ini dirujuk oleh Barry Wain dan kemudian diterjemahkan buku Malaysian Maverick itu oleh IBDE sebagai “muslihat”.

Maqam selepas Mahathir adalah maqam Najib. Akan tetapi kita memerlukan kupasan seribu satu malam yang lain untuk itu. Ia sangat ulung.

Maqam tertinggi buat masa ini adalah maqam yang bermula pada 30 Jun 2018. Maqam ini kata James Chai dalam artikel yang telah disentuh di atas adalah maqam “matrix of autocracy”.

Meskipun tanpa maqam PM, seperti maqam Abdul Rahman Putra, maqam Razak Hussein atau maqam Mahathir, maqam ini mengubah perlembagaan parti agar tidak bisa ditanggal dari 3 ke 5 tahun; tidak boleh dilengser; malah boleh memecat dan menggantung ahli.

Maqam-maqam di atas bukan maqam untuk didakap oleh ahli sufi. Ia juga bukan maqamat yang perlu ditempuh ahli madani.

Tidak ada maqam selepas zahid kerana maqam ini terlebih gemilang. Ia terlalu terang sehingga maqam ini menarik silau banyak cahaya (satu cahaya nur, banyak cahaya jamaknya annuar).

Ia terlalu silau sehingga menanarkan Umno dalam Pilihan Raya Umum ke-15, pilihan raya negeri di enam buah negeri, dan akan terus menanar negara ini untuk satu tempoh panjang.

Tidak seperti seorang ahli sufi yang mesti bersih untuk naik maqam, lalu mendakap maqam zahid; untuk menjadi bersih, seorang ahli madani itu perlu menanggalkan maqam-maqam di atas.

Secara ringkasnya, tidaklah memadai jika berdaya menanggalkan maqam Mahathir atau maqam Najib; ini kerana maqam-maqam ini boleh ditanggalkan dengan kekuatan islah atau reformasi.

Akan tetapi cabaran sebenar adalah untuk meninggalkan maqam zahid. Inilah cabaran ahli madani. – 5 September, 2023.
 

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen