Kenyataan Muhyiddin sentuh 3R, Pemuda Amanah buat laporan polis


Pemuda Amanah hari ini membuat laporan polis berhubung kenyataan Muhyiddin Yassin baru-baru ini yang disifatkan menyentuh sentimen kaum, agama dan institusi diraja (3R). – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 September, 2023.

PEMUDA Amanah hari ini membuat laporan polis berhubung kenyataan Muhyiddin Yassin baru-baru ini yang disifatkan menyentuh sentimen kaum, agama dan institusi diraja (3R).

Exco Pemuda Amanah Nasional Fadhli Umar Aminolhuda berkata laporan polis itu dibuat Ketua Pemuda Amanah Pulai Mohd Harith Mohd Hambali di Balai Polis Tampoi pada pukul 3.07 petang tadi.

Beliau berkata laporan polis turut dibuat berikutan kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu yang mengharamkan undi terhadap calon Pakatan Harapan (PH) Suhaizan Kaiat bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai yang boleh menggugat keharmonian di negara ini dan Johor khususnya.

“Kita ambil maklum Ketua Polis Negara Razarudin Husain mengatakan hari ini bahawa Polis Diraja Malaysia membuka kertas siasatan, justeru itu kita mengharapkan agar siasatan dan tindakan itu dapat disegerakan.

“Ini bagi memastikan tiada lagi mana-mana pihak terutama pemimpin parti politik yang berani untuk mengeluarkan kenyataan seperti itu,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Balai Polis Tampoi di Johor Bahru hari ini.

Turut hadir Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Pulai Syed Mohd Hafiz Syed Hassan dan Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) Johor Muhammad Taqiuddin Cheman.

Sementara itu Fadhli Umar yang juga Ketua Perundangan Jentera PH bagi PRK Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram berkata kenyataan Muhyiddin juga seolah-olah mahu menggugat kuasa Fatwa Negeri Johor dan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang merupakan ketua agama Islam di negeri itu.

Justeru beliau menggesa Jabatan Agama Islam Negeri Johor atau Majlis Agama Islam Negeri Johor turut menjalankan siasatan berikutan kenyataan seumpama itu tidak wajar dikeluarkan oleh mana-mana individu walaupun berbentuk gurauan.

Sementara itu Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan polis tersebut dan menjelaskan siasatan lanjut akan dijalankan.

Razarudin hari ini dilaporkan sebagai berkata siasatan terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu dilakukan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan ketakutan dan kegentaran awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Sabtu lepas Muhyiddin semasa Ceramah Perdana di Dataran Utama Kempas di Johor Bahru didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa haram hukumnya bagi mereka yang mengundi Suhaizan pada PRK tersebut. – Bernama, 4 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen