ADUN Kota Lama dari Pakatan Harapan Dr Hafidzah Mustakim menyerahkan proses susulan tuntutan saman ke atas Menteri Besar Kelantan Mohd Nassaruddin Daud kepada peguamnya untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata ia berikutan Adun Meranti itu belum membuat permohonan maaf dalam tempoh yang ditetapkan seperti dituntut berhubung kenyataan yang melabel beliau dan Adun Galas (Barisan Nasional) Mohd Syahbuddin Hashim menentang perjuangan Islam.
“Tempoh tujuh hari telah berlalu dan insya-Allah saya menyerahkan perkara ini kepada peguam saya untuk melaksakankan tindakan seterusnya, jadi kita tunggulah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Komunikasi Tindakan Setempat dan Sambutan Hari Kebangsaan di Pasar Kubang Pasu di Kota Bharu hari ini.
Sebelum ini media melaporkan dua Adun di Kelantan memberi tempoh tujuh hari kepada Mohd Nassuruddin membuat permohonan maaf secara terbuka terhadap dakwaan mereka menolak perjuangan Islam.
Kedua-dua mereka mengarahkan peguam untuk menghantar notis tuntutan maaf tersebut kepada Mohd Nassuruddin dan tindakan memfailkan saman sivil di mahkamah akan dilakukan jika permohonan maaf berkenaan gagal dibuat.
Bagaimanapun Mohd Nassuruddin berkata tiada keperluan untuk beliau memohon maaf berhubung perkara itu seperti yang dituntut oleh dua Adun berkenaan. – Bernama, 4 September, 2023.
Komen