POLIS merampas sembilan lukisan, jam tangan mewah dan beg tangan berjenama bernilai jutaan ringgit daripada bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Jasmine Loo Ai Swan, kata Timbalan Ketua Polis Negara Ayub Khan Mydin Pitchay.
Ayub berkata barangan mewah itu termasuk dua lukisan Pablo Picasso dipercayai dibeli menggunakan dana 1MDB.
Sebahagian daripada aset itu ditemui di sebuah premis di Bukit Damansara, Kuala Lumpur manakala sebahagian lagi disimpan oleh Loo di luar negara, kata Ayub pada sidang media.
“Loo ditahan pada Julai 2023. Beliau juga mengaku memiliki beberapa aset di Amerika Syarikat, Switzerland dan Singapura, yang dibelinya menggunakan dana daripada 1MDB.
“Beliau juga merupakan pengasas River Dee International SA (BVI) dalam Falcon Private Bank AG di Zurich.
“Terdapat lima transaksi melibatkan ASD16 juta yang diterimanya daripada beberapa syarikat dan entiti. Beliau kemudian membeli sebuah hartanah di New York bernilai RM4.6 juta dan satu lagi di London bernilai RM2.7 juta,” kata Ayub.
Beliau berkata Loo turut menerima wang tunai, jam tangan mewah dan beberapa beg tangan berjenama, termasuk Birkin daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low.
Di premis di Bukit Damansara, penyiasat menemui aset bernilai RM625,000 termasuk jam tangan Richard Mille dan Harry Winston, kata Ayub sambil menambah yang jawatan terakhir Loo dengan 1MDB adalah sebagai peguam pada 2011 dengan gaji RM40,000 sebulan. – 4 September, 2023.
Berita penuh di sini
Komen