Ahli politik PKR nafi dera pembantu rumah Indonesia


Bekas Ketua Pemuda PKR Ampang Adam Rosly menafikan mendera seorang pembantu rumah warga Indonesia seperti dilaporkan sebuah portal berita. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 September, 2023.

BEKAS Ketua Pemuda PKR Ampang Adam Rosly menafikan mendera seorang pembantu rumah warga Indonesia seperti dilaporkan sebuah portal berita.

Adam melabelkan dakwaan itu sebagai fitnah bertujuan untuk mencemarkan nama baiknya.

“Ini satu tuduhan keji. Saya dan isteri, keluarga telah memberikan kenyataan kepada polis serta menyerahkan semua bukti,” katanya dalam satu kenyataan.

Awal hari ini Malaysiakini melaporkan seorang bekas ketua Pemuda PKR bahagian dituduh mendera pembantu rumah warga Indonesianya dengan memaksanya menanggalkan pakaian sebelum menyiram dengan air panas sebagai hukuman kerana membiarkan pintu pagar terbuka.

Kes itu difailkan di bawah seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana secara sukarela menyebabkan kecederaan dengan senjata atau cara berbahaya.

Turut didedahkan ahli PKR itu - berpangkat Datuk - dipaksa merentangkan tangannya ke lantai kemudian dilempar pasu bunga ke tangannya.

“Ini mematahkan jari kelingking saya dan mencacatkannya secara kekal,” pembantu rumah terbabit dilaporkan sebagai berkata.

Pembantu rumah berkenaan turut mendakwa ditendang manakala badan dan kepalanya dihentak, dicengkam rambutnya dan dihempap ​​ke dinding, dipukul di kepala dengan pelbagai objek, selain cuba dilemaskan.

Wanita berusia 57 tahun itu kini berada di bawah perlindungan Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur.

Sementara itu Duta Besar Indonesia ke Malaysia Hermono berkata nama lelaki itu akan dimasukkan dalam senarai 95 nama yang disyorkan kepada Jabatan Imigresen Indonesia untuk dilarang memasuki negara itu.

Indonesia menyenaraihitamkan 103 rakyat Malaysia daripada memasuki Indonesia kerana terbabit dengan penderaan dan pelbagai bentuk eksploitasi buruh terhadap rakyatnya. – 4 September, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen