‘Fatwa’ haram undi tidak wajar, permain hukum agama, kata Suhaizan


Kata Suhaizan, fatwa Muhyiddin itu seolah-olah mempermainkan hukum agama demi kepentingan politik. – Gambar Facebook Wee Ka Siong, 3 September, 2023.

CALON Pakatan Harapan Suhaizan Kaiat menyifatkan tindakan Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin mengeluarkan ‘fatwa’ haram memberikan undi kepadanya seolah-olah mempermainkan hukum agama demi kepentingan politik.

Beliau berkata tindakan itu adalah tidak wajar dan sebagai ahli politik yang berpengalaman, Muhyiddin tidak seharusnya menggunakan hukum halal haram terhadap seterunya.

“Kita tidak boleh sewenang-sewenangnya menghukum ini (haram) untuk seteru politik sebab ia ada kesan tidak baik. Saya khuatir nanti semua orang boleh menghukum dengan sewenang-sewenangnya.

“Dalam politik, kita berbeza tidak apa, tak ada masalah. Tidak mahu mengundi tak ada masalah tapi jangan gunakan hukum untuk lawan seteru kita,” katanya pada sidang media media selepas sesi bertemu pemimpin Cina di Pejabat MCA Pulai hari ini yang turut dihadiri presiden parti itu Wee Ka Siong.

Suhaizan mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pagoh itu semasa Ceramah Perdana di Dataran Utama Kempas, malam semalam iaitu ‘haram memberikan undi kepada Suhaizan’.

Pilihan Raya Kecil Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram dijalankan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan pengundian awal pada 5 September dan hari mengundi pada 9 September ini. – Bernama, 3 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen