KERAJAAN perpaduan memutuskan untuk tidak mengikut gesaan pentadbiran sebelum ini untuk menutup pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Malaysia, kata sumber.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara Rodzi Md Saad telah mencadangkan agar kerajaan menutup pejabat PBB dan menangani pelarian secara dalaman.
Sumber bagaimanapun berkata kerajaan sekarang telah mengadakan perbincangan mengenai proses dan prosedur dalam mengendalikan pelarian termasuk pencari suaka.
“Setakat ini status quo kekal. Terdapat dialog mengenai peranan yang boleh dimainkan oleh kerajaan setakat yang saya tahu,” kata sumber yang rapat dengan perkara itu kepada The Malaysian Insight.
Rodzi membuat cadangan itu pada September 2022, berkata langkah itu akan membolehkan Putrajaya menguruskan pelarian di negara ini dengan lebih baik tanpa “gangguan” daripada pengaruh luar.
Bagaimanapun, beliau mengakui perkara itu tidak boleh dilakukan dalam masa terdekat kerana MKN perlu diperkukuh.
Sumber itu berkata, Putrajaya tidak mempunyai kepakaran untuk mengendalikan sendiri urusan pelarian.
“Kerajaan pun tidak boleh menangani isu pekerja asing dan mereka sedang memikirkan untuk mengendalikan pelarian,” tambahnya.
Sumber lain, bekas ahli Parlimen merangkap aktivis, juga mengesahkan bahawa rancangan untuk menutup pejabat PBB telah dibatalkan.
Tambahnya, cadangan Rodzi itu dibuat secara tergesa-gesa dan Malaysia mungkin memerlukan satu dekad untuk mempelajari cara mengurus pelarian dengan lebih baik sekiranya mahu menangani perkara itu sendiri.
“Buat masa ini, kami tidak mempunyai keupayaan. Pelarian dikendalikan oleh pakar dari seluruh dunia dan untuk kami belajar daripada pakar ini mungkin mengambil masa bertahun-tahun.
“Pakar-pakar ini mempunyai pengalaman berdekad mengajar perkara berkaitan pelarian dan telah berada di lapangan untuk mengkaji masalah itu. Kita tidak boleh menganggap kita boleh menanganinya,” tegasnya.
The Malaysian Insight telah menghubungi UNHCR dan Kementerian Dalam Negeri untuk mendapatkan maklum balas.
Pada Mei, kerajaan berkata ia sedang mempertimbangkan untuk memeterai perjanjian dengan UNHCR berhubung peranan dan tanggungjawabnya terhadap pelarian dan pencari suaka di Malaysia.
Perkara itu didedahkan oleh Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa peringkat tinggi pengurusan pelarian dan pencari suaka di Putrajaya.
“UNHCR perlu menjalankan tanggungjawabnya terhadap pelarian dan pencari suaka yang berada di negara ini mengikut mandat dan fungsi penubuhannya dan tidak meletakkan beban pengurusan pelarian semata-mata kepada kerajaan atau masyarakat setempat,” kata Zahid.
Seramai 160,332 orang, atau 86.3%, daripada semua pelarian dan pencari suaka di Malaysia berasal dari Myanmar, yang mana 107,433 daripadanya adalah daripada etnik Rohingya.
Pelarian dari negara lain yang mempunyai bilangan ketara ialah Pakistan dengan 7,109 orang, Yaman (3,466), Afghanistan (3,444), Somalia (3,161) dan Syria (3,161). – 4 September, 2023.
Komen