Anwar akui kerajaan mampu berkomunikasi lebih baik dengan rakyat 


Ravin Palanisamy

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata fitnah yang berterusan di media sosial terhadap kerajaan menyebabkan mesej yang ingin disampaikan kepada rakyat tidak dapat dilakukan secara berkesan. – Gambar Facebook, 3 September, 2023.

KOMUNIKASI kerajaan yang lemah dengan orang ramai menjelang enam pilihan raya negeri adalah antara sebab Perikatan Nasional (PN) mempunyai peluang yang lebih baik, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Ini berikutan seorang pelajar pada sesi dialog di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor, hari ini mencadangkan bahawa “jentera komunikasi Putrajaya yang lemah” adalah salah satu sebab ia kalah kepada PN pada pilihan raya enam negeri baru-baru ini.

Pelajar itu mendakwa setiap hari kerajaan dikritik dan difitnah pelbagai pihak khususnya di media sosial.

Beliau berkata keadaan ini telah menghalang keupayaan kerajaan untuk menyampaikan mesejnya secara berkesan kepada orang ramai.

Pelajar itu juga mendakwa “ketidakberkesanan” komunikasi oleh pelbagai kementerian dan agensi kerajaan menekankan keperluan untuk pembaharuan dalam cara kerajaan menyebarkan maklumat.

Beliau juga mencadangkan kerajaan memerlukan “unit media yang kuat”.

Perdana menteri menjawab dengan berterima kasih kepada pelajar itu atas pandangannya.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Syed Ali (pelajar itu).

“Memang benar. Terdapat kelemahan dalam komunikasi kami. Saya akui,” kata Anwar.

Menyedari pelbagai tuduhan yang dilemparkan oleh lawan politiknya, Anwar menyeru golongan muda yang hadir pada dialog itu supaya memainkan peranan mereka dalam menyebarkan maklumat yang tepat.

“Ia adalah peranan kamu (juga), bukan hanya saya. Kamu harus memanggil rakan untuk menjelaskan perkara yang betul dan mempertahankan apa yang benar,” kata Anwar.

Keputusan pilihan raya mnegeri baru-baru ini adalah status quo, yang mana kerajaan yang diterajui Pakatan Harapan-Barisan Nasional berjaya mengekalkan Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, manakala Perikatan Nasional pertahankan Kelantan, Terengganu dan Kedah. 

PN mendapat sokongan besar-besaran di kawasan yang didominasi orang Melayu dalam pilihan raya negeri dan pilihan raya umum.

Gabungan itu memenangi 74 kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum sulungnya dan membuat kemajuan besar di Selangor pada pilihan raya negeri bulan lepas, menafikan majoriti dua pertiga PH-BN di negeri itu.

Pakatan berdepan dua pilihan raya kecil di Johor pada 9 September - bagi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram. Ia sekali lagi menghadapi PN dalam pilihan raya kecil berkenaan. – 3 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen