PRK: Zahid seru pengundi Umno keluar mengundi


PENGUNDI Umno pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram diharap tidak terjebak dengan kempen pihak tidak bertanggungjawab supaya tidak keluar mengundi pada 9 September ini, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga timbalan perdana menteri berkata, ahli Umno yang dikenali sebagai pengundi putih, perlu mengetepikan perbezaan parti yang terdapat dalam kerajaan perpaduan dan memberikan sokongan padu kepada calon kerajaan.

“Kita hendaklah mendukung mereka (PH) kerana kita harap mereka juga akan sokong kita di PRK (DUN) Pelangai  nanti dan ini langkah pertama kerjasama yang diperlihatkan pelbagai parti untuk mendukung calon kita. Kita tentunya mendambakan kemenangan untuk terus stabilkan kerajaan negeri Johor dan Putrajaya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Sentuhan Kasih Desa @Simpang Jeram: mini ekspo pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Keusahawanan Desa di Sungai Abong yang turut dihadiri Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi.

Zahid berkata, beliau juga tidak mahu pengundi pada PRK kali ini terkeliru dengan propaganda pembangkang yang cuba mengelirukan orang ramai dengan isu kaum, agama dan institusi diraja (3R) terutamanya dalam kalangan pengundi Melayu.

Bagaimanapun beliau yakin Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Mohamed Khaled Nordin dan Onn Hafiz akan menggerakkan semua jentera untuk menolak segala kekeliruan dan menepis segala dakwaan yang cuba ditimbulkan pembangkang.

Mengulas mengenai isu kerjasama BN dan DAP yang sering dimainkan pembangkang dalam kempen mereka, Zahid berkata pembangkang seharusnya sedar mereka juga pernah melakukan perkara sedemikian sebelum ini.

“Tanya diri mereka dahulu kerana mereka pernah bekerjasama dengan DAP, tanya dengan PAS berapa kali kerjasama dengan DAP? Begitu juga Bersatu kita lihat mereka pernah dengan DAP ketika kerajaan Pakatan Harapan 1.0 dulu.

“Dalam situasi ini mereka sengaja mahu kelirukan rakyat yang mereka berjaya dalam Pilihan Raya Negeri di enam negeri lalu dan mereka masih mencuba, tapi ingat pengundi Johor berlainan, lebih istiqamah dan tidak akan terjebak dengan pelbagai dakyah,” katanya.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu.

PH mempertaruhkan bekas Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat bagi Parlimen Pulai, yang berhadapan calon PN iaitu Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Pulai, Zulkifli Jaafar dan seorang calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi.

Bagi DUN Simpang Jeram pula, PH meletakkan Timbalan Ketua Amanah kawasan Bakri Nazri Abdul Rahman yang akan ditentang calon PN Mohd Mazri Yahya, seorang pakar perunding vaskular dan pakar bedah endovaskular serta seorang calon Bebas yang juga ahli perniagaan S Jeganathan. – Bernama, 2 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen