Polis siasat Hadi kes pertikai kuasa Lembaga Pengampunan


Baru-baru ini, Presiden PAS Abdul Hadi Awang dilaporkan mempertikai kuasa Lembaga Pengampunan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 September, 2023.

POLIS mengambil keterangan Presiden PAS Abdul Hadi Awang hari ini berkait kenyataannya yang mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan, lapor Utusan Malaysia.

Laporan di portal itu menyebut Ketua Polis Negara Razarudin Husain mengesahkan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) mengambil kenyataan Hadi di Bukit Aman petang ini.

“Pasukan penyiasat USJT akan ambil keterangan Abdul Hadi pukul 3 petang hari ini,” katanya.

Polis menyiasat Hadi mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia ekoran ucapannya dalam kempen pilihan raya kecil Simpang Jeram di Muar.

Dalam ceramah itu, Hadi didakwa menyebut pengampunan seseorang pesalah yang diamalkan negara ini tidak sesuai ajaran Islam.

Satu lagi kenyataan Hadi yang disiarkan lidah partinya Harakahdaily semalam turut menyentuh perkara sama.

Dalam kenyataan yang disertakan ayat al-Quran itu, Hadi berkata hanya keluarga mangsa berhak memberi pengampunan.

“Pihak kerajaan yang setinggi-tinggi kedudukannya tiada hak untuk memberikan pengampunan termasuk raja-raja atau ketua negara atau lembaga yang dibentuk.

“Perkara ini hanya terdapat dalam hukuman qisas yang berkait dengan hak manusia,” katanya lagi.

Kenyataannya yang mempersoal kuasa Lembaga Pengampunan itu antara lain berkait secara langsung dengan kedudukan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Serangan serupa dilancarkan ayam sabung PAS Muhammad Sanusi Md Nor yang memohon mahkamah memeriksa persoalan undang-undang ke atas pengampunan diraja diperolehi Anwar.

Menteri besar Kedah itu mengemukakan perkara itu ekoran disaman kerana menyebut kenyataan fitnah mengaitkan Anwar dengan perlakuan tidak bermoral.

Anwar layak bertanding pilihan raya dan dilantik menjadi perdana menteri kesepuluh selepas memperolehi pengampunan tanpa syarat pada 2018. – 2 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen