Guna mata wang sendiri hanya pendapat peribadi, kata Abang Jo


Premier Sarawak, Abang Johari Openg berkata penggunaan mata wang sendiri satu isu yang cukup rumit dan memerlukan penelitian khusus. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 September, 2023.

SARAWAK tetap akan menggunakan mata wang Ringgit Malaysia (RM) di sebalik penggunaan mata wang sendiri seperti dibayangkan oleh Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi.

Premier Sarawak, Abang Johari Openg berkata cadangan yang dibayangkan oleh Nanta yang juga Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu hanya pandangan peribadi.

Menurutnya, ia satu isu yang cukup rumit dan memerlukan penelitian khusus.

“Ia sekadar pandangan peribadi Nanta. Kita sudah ada mata wang Malaysia, jadi kita kena guna itu sahaja (gunakan mata wang Malaysia),” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian program jelajah anti-scam kebangsaan 2023 peringkat negeri di Kuching, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Nanta yang membayangkan kemungkinan Sarawak memperkenalkan mata wang sendiri memandangkan keadaan ekonomi yang tidak menentu di negara ini.

Semalam, ahli Parlimen Kapit itu membayangkan perkara itu dalam siaran podcast bertajuk ‘Dari Malaya ke Malaysia: 60 tahun’. – Bernama, 2 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen