MEMASUKI fasa kedua kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai dan Simpang Jeram, menyaksikan pimpinan tertinggi parti mula menyingsing lengan bagi membantu calon berkempen menerusi ceramah mega yang dijadualkan, menyulami kempen berskala kecil yang banyak dipraktikkan sebelum ini.
Berdasarkan jadual dan poster yang dikongsikan parti utama bertanding, sama ada gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) mahupun Perikatan Nasional (PN), masing-masing dilihat memanfaatkan waktu hujung minggu ini dengan berkempen bagi meraih sokongan pengundi.
Bagi gabungan PH-BN contohnya, perdana menteri yang juga Pengerusi PH Anwar Ibrahim dijadual mengadakan ceramah mega Perpaduan Madani di Johor Bahru dan Muar bersama Presiden Amanah Mohamad Sabu, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi serta Setiausaha Agung DAP Anthony Loke esok.
PN turut tidak ketinggalan dalam menghiasi pentas ceramah mereka dengan nama besar, apabila dijadual menampilkan pengerusinya Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang malam ini di Markas PAS Bakri yang menjadi pusat operasi mereka di Simpang Jeram.
Selain itu, menteri persekutuan juga dilihat turun membantu kempen menerusi pelbagai program yang diatur khususnya di Johor Bahru dan Muar, bertemu pelbagai lapisan masyarakat yang berkaitan dengan portoflio kementerian masing-masing.
Calon PH Parlimen Pulai Suhaizan Kaiat berkata setakat ini, beliau menjalankan kempennya meliputi lebih 60%kawasan Parlimen itu, dengan jentera PH-BN pula bergerak meliputi 70 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling dan DUN Kempas.
Dengan momentum kempen yang semakin rancak, beliau berkata gerak kerja dan aktiviti kempen PH-BN akan lebih agresif, manakala kempen secara bersemuka, ziarah rumah ke rumah dan kawasan tumpuan awam terus dipergiat.
Sementara itu, calon PN Parlimen Pulai Zulkifli Jaafar, 50, berkata beliau dan jenteranya hampir selesai menemui komuniti di semua 40 pusat daerah mengundi Parlimen itu dan memulakan pusingan kedua lawatan dan ramah mesra bermula semalam.
Bagi calon Bebas untuk Parlimen Pulai, Samsudin Mohamad Fauzi mengakui bertemu dengan pengundi di semua kawasan dan kini sudah memasuki pusingan kedua dan ketiga bagi sesetengah kawasan, untuk aktiviti turun padang terutama Kempas, Perling dan Tampoi.

Di Muar, Pengarah Pilihan Raya PH PRK Simpang Jeram Dr Sheikh Ibrahim Salleh berkata, liputan kempen sudah mencapai tahap 60% dengan sebahagian besar dilakukan secara tradisional iaitu menyantuni pengundi secara bersemuka di warung, medan selera, rumah dan tapak niaga.
Selain itu, Pengurus Operasi Pilihan Raya PN PRK Simpang Jeram Rosman Kemin pula berkata, mereka menyantuni lebih 90% masyarakat Melayu, meliputi 54.5% daripada 40,379 pengundi berdaftar di kawasan berkenaan, selain 60% kempen kepada pengundi Cina.
Calon Bebas Simpang Jeram, S Jeganathan pula dilihat lebih selesa memandu sendiri trak pikap yang dipenuhi bendera dan gegantung untuk berkempen secara lebih santai dan tenang, dengan pergi dari rumah ke rumah mengedarkan posternya.
Sementara itu, penganalisis politik Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) Dr Lutfan Jaes berkata, peluang untuk PH dilihat lebih cerah di Parlimen Pulai berbanding di Simpang Jeram yang situasinya masih samar-samar dengan kedua-dua PH-BN dan PN mempunyai peluang sama rata untuk menang.
“Di Pulai, Parti Amanah khususnya selaku wakil dari blok PH-BN mempunyai simpanan tetap yang agak kukuh, apatah lagi dengan sokongan padu tidak berbelah bahagi yang ditunjukkan oleh pucuk pimpinan BN sendiri yang merupakan sebuah parti yang mendominasi DUN negeri Johor,” katanya.
Beliau berkata, berbanding di Simpang Jeram, pengundi BN pada PRN lalu boleh menjadi penentu kepada keputusan pilihan raya berkenaan, memandangkan keputusan lalu menunjukkan data yang agak rapat, apabila PH memperoleh 8,749 undi, PN (6,350) dan BN (6,062).
“Dulu (PRN 2022) BN berdiri sendiri dan peroleh undi sebanyak 6,062, jadi bayangkan kalau undi BN ini sebahagian besarnya berpindah kepada PN, ada kemungkinan PH mungkin mendapat cabaran yang agak hebat di Simpang Jeram berbanding di Pulai,” katanya.
Menurutnya selain itu, Simpang Jeram yang dahulunya dikenali sebagai DUN Sungai Abong sebelum 2018, pernah dipegang PAS selama dua penggal.
Penganalisis politik UTHM, Dr Mohd Akbal Abdullah turut berpendapat peluang PH untuk menang di Pulai lebih cerah disebabkan faktor undi PH dan BN pada PRN lalu yang sekiranya dicampur, boleh mencapai 80%.
Katanya, Suhaizan yang juga bekas Speaker DUN Johor juga lebih dikenali rakyat kerana arif dalam pentadbiran negeri berbanding Zulkifli.
“Malah isu dibawa dalam kempen PN di Pulai pun isu yang banyak berlegar isu nasional seperti isu perkauman dan agama. Gaya kempen di Pantai Timur dan utara sudah tentu tidak sesuai untuk bangsa Johor kerana negeri ini sudah ada formula sendiri untuk hidup aman dan tenang,” katanya.
PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka di dua kerusi berkenaan berikutan kematian penyandangnya Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu. – Bernama, 2 September, 2023.
Komen