Pengundi bukan Melayu penentu PRK Johor, kata Shahrir


Ravin Palanisamy

Veteran Umno Shahrir Samad percaya Gelombang Melayu yang memihak kepada Perikatan Nasional tidak akan berlaku di Johor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 September, 2023.

KEPUTUSAN pengundi bukan Melayu akan menentukan pemenang Pilihan Raya Kecil Pulai dan Simpang Jeram, kata Shahrir Abdul Samad.

Veteran Umno itu berkata kemenangan Pakatan Harapan (PH) di kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu dan pilihan raya negeri adalah kerana sokongan tidak berbelah bahagi pengundi bukan Melayu.

“PH melalui calonnya dari PAN (Amanah) mencapai kemenangan semasa PRN Johor dan PRU15 adalah kerana sokongan dari pengundi bukan Melayu, khususnya pengundi Cina yang maseh terikut dengan Tsunami Cina pada PRU14.

“Apakah adanya fakta yang mampu meredakan Tsunami Cina itu?” tulisnya di Facebook hari ini.

Pada PRU15 lepas, Allahyarham Salahuddin Ayub yang juga timbalan presiden Amanah menang di kerusi Parlimen Pulai dengan majoriti undi 33,174 dalam pertandingan tiga penjuru, menewaskan calon Barisan Nasional Nur Jazlan Mohamed dan Perikatan Nasional Loh Kah Yong.

Hampir 71% daripada 165,313 pengundi berdaftar keluar membuang undi mereka.

Di Simpang Jeram pula, Salahuddin menang pertandingan empat penjuru dengan majoriti undi 2,399, dengan hanya 22,000 daripada 40,000 pengundi berdaftar keluar mengundi.

Pada PRK kali ini, kedua-dua kerusi menyaksikan pertandingan tiga penjuru, melibatkan calon PH-BN, PN dan calon Bebas.

Shahrir dalam kenyataan di Facebook hari ini turut optimis yang Gelombang Melayu seperti yang disaksikan pada PRU15 dan pilihan raya enam negeri lalu yang memberi banyak kemenangan kepada PN tidak akan berlaku pada PRK Johor ini.

Menurutnya kepimpinan Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi berjaya membina kesan positif di negeri itu yang dirasakannya akan memihak kepada gabungan perpaduan PH-BN.

“Pemerhatian saya dari jauh ialah adanya satu fakta baru di Johor, iaitu kehadiran tokoh baharu yang memimpin kerajaan negeri, iaitu YAB Dato Onn Hafiz selaku Menteri Besar Johor.

“Sebagai pemimpin baharu yang telah berkesan dari segi kehadirannya di negeri itu tanpa terbeban dengan kontroversi, beliau dapat membawa kesan positif dalam kedua-dua pilihanraya kecil,” katanya lagi.

Tambahnya, di Johor tidak banyak isu boleh menjadi sebab protes orang Melayu dan bukan Melayu kepada PH dan BN.

“Kecualilah asas pilihan pengundi ialah semata-mata untuk mengikuti trend sahaja,” katanya.

Pada PRU15 dan PRN di enam negeri yang lalu PN menerima sokongan kuat di kawasan majoriti Melayu.

Gabungan itu menang 74 kerusi Parlimen dan banyak kerusi di DUN Selangor yang menafikan majoriti dua pertiga PH-BN di negeri itu.

PRN di enam negeri berakhir dengan pengekalan status quo, dengan PH-BN terus mentadbir Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. PN pula mengukuhkan kuasa mereka di Kelantan, Terengganu dan Kedah. – 2 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen