MALAYSIA Airlines Berhad (MAB) memohon maaf atas kelewatan penerbangan hari ini disebabkan oleh masalah membabitkan penyediaan makanan atau katering.
Syarikat penerbangan nasional itu, yang menamatkan perkongsian katering makanannya dengan Brahim’s Food Services (BFS) secara rasmi semalam, mengakui kira-kira 20% penerbangan gagal berlepas mengikut jadual asal hari ini.
“Malaysia Airlines kesal dengan cabaran yang dihadapi pada hari pertama operasi di bawah pelan kesinambungan perniagaan bagi katering atas kapal (di laluan terpilih).
“Cabaran ini, ditambah lagi dengan keadaan cuaca hujan dan perubahan tempat letak pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, memberi kesan kepada beberapa penerbangan pada separuh pertama hari.
“Selain itu, syarikat penerbangan juga mengalami isu penyelarasan yang sedang kami tangani secara aktif dengan rakan kongsi berkaitan,” kata MAB dalam satu kenyataan hari ini.
Syarikat penerbangan itu mengesahkan setakat jam 12 tengah hari, hampir 80% penerbangan berlepas mengikut jadual.
“Malaysia Airlines memohon maaf yang setulus-tulusnya kepada penumpang yang dihargai atas kesulitan dialami.
“Pengalaman pelanggan kekal sebagai tumpuan utama kami dan kami amat menghargai kesabaran dan pemahaman mereka pada masa ini,” katanya.
Pada Rabu, Malaysian Aviation Group (MAG) mengumumkan perjanjian kateringnya dengan BFS bagi laluan domestik dan antarabangsa terpilih akan dihentikan pada 31 Ogos.
MAG, syarikat induk MAB berkata, perkongsian itu tamat dua bulan selepas notis pemberhentian rasmi diberikan pada 30 Jun.
Pada masa itu, MAG berkata ia akan mengaktifkan pelan kesinambungan perniagaannya untuk perkhidmatan makanan dalam penerbangan di laluan terpilih di bawah MAB, berkuat kuasa 1 September.
MAG juga berkata ketika peralihan ini, MAB akan menyediakan laluan terjejas dengan makanan dan minuman (F&B) alternatif dalam penerbangan, memastikan operasi lancar sambil meminimumkan potensi kesan terhadap keselesaan dan pengalaman pelanggan.
“Laluan lain akan terus disediakan oleh penyedia semasa POS Aviation,” kata MAG.
Awal hari ini, beberapa penumpang menggunakan media sosial untuk menyuarakan kekecewaan mereka atas kelewatan itu.
Seorang pengguna Facebook, Sugumaran Kani meluahkan perasaan kecewa susulan kelewatan penerbangannya.
“Malaysia Airlines, perkhidmatan anda hari demi hari semakin teruk.
“Semua penerbangan pagi pada 1 September (terlambat) berikutan kontraktor katering baharu gagal menghantar makanan tepat pada masanya,” katanya.
Beliau turut meminta Menteri Pengangkutan Anthony Loke untuk meneliti perkara itu.
Seorang lagi penumpang Low L Oria turut merungut syarikat penerbangan itu kerana menangguhkan penerbangannya selama tiga jam disebabkan masalah katering.
“Malaysia Airlines, penerbangan saya tertangguh lebih tiga jam kerana salah urus aturan makanan anda. Bagi saya ini sama sekali tidak boleh diterima,” katanya.
Terdahulu, wujud dakwaan tiada makanan bagi penumpang Kelas Bisnes dan anak kapal terpaksa melayan mereka dengan makanan kelas Ekonomi. – 1 September, 2023.
Komen