Benarkan agama lain diajar di sekolah, kata PKR Sarawak


Alfian Z.M. Tahir

Abun Sui Anyit merujuk kepada keputusan KPM mengajar modul Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah menengah agama kebangsaan dan sekolah agama yang dibiayai kerajaan. – Gambar Facebook, 31 Ogos, 2023.

KERAJAAN mesti membenarkan pelajar semua agama lain mendapat pembelajaran mengenai kepercayaan masing-masing di sekolah kebangsaan, kata PKR Sarawak hari ini.

Timbalan Pengerusi PKR negeri Abun Sui Anyit berkata, ia akan membolehkan pelajar semua agama mempelajari agama masing-masing.

“Pelajar agama Kristian, Buddha, Hindu dan semua agama lain di negara kita seharusnya boleh mengikuti pelajaran khas dalam kelas khas yang dikendalikan oleh pihak berkuasa agama masing-masing.

“Dengan cara itu, semua pelajar, Islam dan bukan Islam, akan diberi hak untuk mempelajari kepercayaan mereka dalam kurikulum sekolah daripada guru bertauliah agama masing-masing.

“Ia akan menjadi langkah besar ke arah Malaysia yang benar-benar berbilang agama,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Beliau merujuk kepada keputusan Kementerian Pendidikan untuk mengajar modul penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah menengah agama kebangsaan dan sekolah agama yang dibiayai kerajaan sebelum ia dilancarkan di sekolah awam untuk pelajar Islam.

Modul itu bertujuan memupuk nilai-nilai sabda atau hadis Nabi Muhammad di peringkat sekolah.

Modul itu dibangunkan atas saranan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mahu hadis itu diajar di sekolah.

Menurut Abun, yang juga ketua penerangan Pakatan Harapan (PH) Sarawak, cita-cita Malaysia Madani sepatutnya bermakna semua agama diajar di sekolah oleh pihak berkuasa masing-masing.

“Cita-cita mengenai hak setiap rakyat Malaysia bagi setiap agama dan kaum juga termaktub di bawah Perkara 3 dan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Semalam, pejabat Menteri Pendidikan dalam satu kenyataan berkata modul hadis akan membantu dalam menangani radikalisme dan ekstremisme.

Ia berkata, KPM komited terhadap inisiatif itu kerana ia akan memberikan gambaran sebenar nilai-nilai Islam dan penerapannya dalam masyarakat majmuk Malaysia.

KPM mengulangi inisiatif itu hanya membabitkan guru dan pelajar beragama Islam dan akan diperluaskan ke sekolah lain hanya bagi mata pelajaran Pendidikan Islam. – 31 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen