Abata: Agama, bangsa dan tanah air


Hishamuddin Rais

DALAM tulisan ini saya memperkenalkan konsep Abata: Agama, Bangsa dan Tanah Air. Saya juga memperkenalkan konsep RAB: Raja, Agama dan Bangsa.

RAB muncul kerana saya menolak istilah 3R: Royalty, Race dan Religion. RAB ialah Raja, Bangsa dan Agama.

Istilah Melayu ini lebih tepat makna dari singkatan kata. Manakala 3R adalah kata singkat untuk mengingatkan pembelajaran pada zaman penjajah. Pada zaman penjajah yang diajar hanya 3R: Reading, Writing dan Arithmetic.

Kesedaran dan pencerahan politik saya yang teratur hanya sampai kepada saya sesudah Inggeris meninggalkan Tanah Melayu.

Pada zaman Inggeris saya hanya merasa tempias perlawanan para nasionalis yang bangun melawan Inggeris. Tempias ini pun hanya saya dengar dari cerita-cerita mulut.

Tahun 1998 pada zaman gerakan Reformasi – ketika Anwar Ibrahim di dalam penjara – ada saya terdengar cerita-cerita mulut dari sosok yang lebih berpengalaman bagaimana suasana Reformasi ketika itu disamakan seperti zaman melawan Inggeris.

Ini kerana ketika ceramah Reformasi berjalan ada Mak Cik memberi gelang tangan, ada Minah memberi cincin dan ramai abang dan adik menghulur duit untuk menyokong gerakan Reformasi.

Mengikut surah, suasana ini sama seperti yang  pernah berlaku ketika Burhanudin, Pak Sako atau Boestamam mengadakan kempen ceramah nasionalis melawan Inggeris.

Tahun 2022 berlaku Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Selepas PRU15 ada pilihan raya negeri enam negeri. Pada hemat saya, dari dua babak ini muncul satu lagi suasana.

Tapi suasana ini bukan suasana melawan Inggeris. Juga bukan suasana Reformasi.

Saya mentakrifkan suasana ini sebagai suasana “Kesedaran Melayu”.

Kesedaran Melayu

Suasana Kesedaran Melayu ini muncul kerana ada hukum dan syarat yang membawa kelahirannya.

Syarat utama yang melahirkan suasana politik ini ialah nazaknya parti United Malays National Organisation.

Manifestasi dari kenazakan ini ialah masuknya Najib Razak ke dalam penjara. Pemenjaraan bekas Presiden United Malays National Organisation ini membuktikan bahawa parti ini sedang nazak.

Hegemoni dan kekuatan parti ketuanan Melayu ini telah lama terhakis semenjak PRU12 lagi. Perpecahan demi perpecahan telah lebih awal berlaku.

Pada tahun 1988 berlaku penubuhan Semangat 46 dan pada 1998, penyingkiran Anwar Ibrahim adalah antara sebab musabab yang menazakkan United Malays National Organisation.

Barah rasuah dan salah guna kuasa menjadi pemangkin yang akan membawa batu nisan kepada parti yang klim sebagai parti keramat untuk orang Melayu.

Inilah latar belakang yang mewujudkan Kesedaran Melayu. Inilah suasana yang memunculkan apa yang saya panggil Abata.

Apa makhluk Abata ini?

Saya mentakrif Abata sebagai sesiapa sahaja yang menganut mazhab – agama, bangsa dan tanah air.

Agama itu Islam. Bangsa itu Melayu. Tanah air itu Tanah Melayu.

Abata

Abata ini eksklusif untuk Melayu. Melayu DKK – darah keturunan  Keling – atau DKA – darah keturunan Arab – atau para mualaf atau kumpulan geng ‘Bin Abdullah’ ditolak dari mazhab Abata.

Hanya Melayu dari Nusantara yang boleh menghayati mazhab Abata. Tidak wujud Abata Celup atau Abata Sampingan. Ini kerana kunci Abata ialah budaya Melayu.

Rukun induk Abata ialah Kemelayuan. Kemelayuan itu bermakna budaya Melayu.

Islam Abata ialah Islam Melayu. Ini membezakan Islam Arab. Islam Abata bukan Islam Arab. Abata tidak meminati Islam jenis Taliban.

Dalam kata mudah Islam ini Islam Budaya Melayu. Islam genre Nusantara.

Wajib diakui bahawa Melayu juga bukan monolitik. Melayu juga terbagi-bagi. Tetapi majoriti Melayu tergulung ke dalam mazhab Abata.  

Salah satu watak Abata ialah mereka tidak menjadi ahli mana-mana parti politik. Ini bukan bermakna mereka tidak memiliki kesedaran politik. Jangan salah baca.

Mereka mengikuti perkembangan politik. Mereka tahu apa yang sedang berlaku. Abata menjadi pemerhati politik yang peka.

Pemerhati teliti

Abata menjadi pemerhati yang teliti. Mereka melihat tingkah laku semua parti politik. Pemerhatian rapi terhadap parti politik Melayu – United Malays National Organisation dan parti Islam PAS, Bersatu, PKR atau Amanah.

Abata memerhati juga parti-parti Cina dan India. Abata memerhati tingkah laku MCA, MIC atau DAP.

Satu ciri penting dalam mazhab Abata pada ketika ini, mereka curiga dan tidak percaya kepada parti yang bukan parti Melayu.

Paling jelas pada tahun 2023, mazhab Abata melihat parti DAP sebagai virus yang wajib dijauhi; malah Abata melihat DAP sebagai musuh.

Dalam PRU15, Abata berbondong-bondong telah meninggalkan United Malaysia National Organisation.

Suatu ketika dulu, Abata memberi sokongan padu kepada parti yang klim sebagai parti Ketuanan Melayu. Kini tidak lagi.

Abata telah hilang keyakinan terhadap United Malays National Organisation. Abata melihat tipu belit dan kong kali kong pemimpin parti ini cukup menjelikkan.

Suatu ketika dahulu, pada zaman DAP masih belum berkuasa, Abata tidak merasa gentar dengan parti ini. Parti DAP dilihat sama setaraf dengan MIC atau MCA.

Parti politik bukan Melayu yang tidak mengancam Melayu.

Sikap ini beralih apabila DAP mula menguasai Pulau Pinang. Sikap benci DAP kini beralih lagi. Abata kini melihat DAP sesudah PRU15 dan PRN enam negeri sebagai musuh.

Dari hitungan angka dan jumlah YB DAP dalam kerajaan Madani atau dalam DUN Selangor atau DUN Pulau Pinang jelas menunjukkan bahawa DAP kini berkuasa.

Abata merasa kuasa politik Melayu terhapus. Pada bacaan Abata, taiko politik Tanah Melayu kini dimiliki oleh DAP.

Ucapan-ucapan lucah dan jahat dari Ramasamy, dari Lim Kit Siang, dari Lim Guan Eng atau dari Nga Kor Ming meyakinkan Abata bahawa agenda Lee Kuan Yew yang mahu Tanah Melayu menjadi Malaysian Malaysia ini masih berjalan.

Nama Melayu dan jati diri Melayu itu wajib dilupuskan. Cara terbaik seperti cara Inggeris adalah mengubah nama Tanah Melayu menjadi Malaya.

Abata membaca dengan jelas Malaysian Malaysia adalah agenda jahat sama seperti mengubah nama Kampung Pantai Dalam dan Kampung Kerinchi sebagai Bangsar South.

Abata melihat dan mentafsir bahawa projek Malaysian Malaysia ini mahu menghapuskan  Islam, Melayu dan Tanah Melayu.

Justeru, Kesedaran Melayu Abata mula mengampuh, melimpah dan membanjiri ruang yang suatu ketika dulu bawah kuasa hegemoni United Malays National Organisation.

Abata mengampuh

Apa buktinya Abata mengampuh?

Secara ilmiah kita buktikan dengan jumlah kerusi yang dimenangi oleh Perikatan Nasional dalam PRU15 dan PRN enam negeri. Kemenangan ini ialah kerana Abata mengalih sokongan.

Satu lagi bukti ialah kemunculan ramai kelas inteligensia Melayu yang secara terbuka mengkritik, memberi komen dan kadang kala memperlekeh Ketuanan Melayu.

Inteligensia Melayu ini menjadi pembuat pandangan, penyalur idea dan penggerak fikrah.

Kelas inteligensia Melayu sebelum ini dipayung dan mencari makan dari tapak tangan United Malays National Organisation.

Kini kuasa dan hegemoni atau mungkin keupayaan memberi makan juga telah berkurangan. Maka kelas ini telah berani melawan towkay.

Hegemoni dan kuasa United Malays National Organisation telah pecah terbarai.

Inteligensia Melayu berbondong-bondong meninggalkan United Malays National Organisation.

Rata-rata dalam media sosial, dalam portal berita yang bukan milik Madani atau yang tidak dikawal oleh jentera Madani, kita boleh membaca, menonton atau mendengar pandangan daripada kelas inteligensia Melayu.

Dari pengamatan saya, semua ini hanya berlaku sesudah PRU15 dan sesudah PRN enam negeri. Kelas inteligensia Melayu ini amat jelas menganuti mazhab Abata.

Justeru, dari suasana Kesedaran Melayu ini sini muncul larangan RAB – Raja, Agama dan Bangsa. Larangan ini menggunakan kuasa dan aparatus daulah. Polis dan mahkamah  digunakan untuk membendung ombak Abata.

Mari kita kembali melihat sejarah. Pada tahun 1948 dahulu, kuasa penjajah Inggeris telah memperkenalkan Akta Hasutan.

Tujuan Akta Hasutan 1948 ialah untuk membendung, melarang dan menangkap para nasionalis daripada berjaya menyebarkan pencerahan kepada orang Melayu.

Orang Melayu pada ketika itu sedang dihasut oleh Boestamam, Pak Sako dan kawan-kawan untuk bangun melawan penjajah Inggeris.

Saya tidak harian dalam masa terdekat Kerajaan Madani ini akan menggubal satu akta baru – Akta RAB 2023.

Larangan dan kekangan untuk bercakap tentang Raja, Agama dan Bangsa ini betul- betul menusuk ke jantung Abata. Bezanya Abata tidak menyebut Raja – memadai dengan konsep tanah air.

Tangkapan, siasatan dan amaran tentangan larangan RAB saban hari kita baca dalam media. Semua dituju kepada penyokong Abata.

Bercakap hal Melayu salah, bercakap hal Islam salah, bercakap hal Raja salah. Larang tangkap cekau dan penjara kini dihadapi oleh Abata.

Apakah ini dapat menumpaskan Kesedaran Melayu?

Apakah ini akan memandulkan Abata?  

Tunggu minggu hadapan. Amin. – 31 Ogos, 2023.

* Hishamuddin Rais ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen